Sudah 'bergelen-gelen' minum air soya, kenapa kulit anak tetap gelap? - Video | mStar

PETALING JAYA: Tidak dinafikan kulit yang cerah dan putih mampu membuatkan seseorang itu kelihatan cantik dan menawan.

Maka tidak hairanlah apabila terdapat ramai ibu mengandung yang mengamalkan pelbagai petua dan nasihat semata-mata mahu mendapatkan anak berkulit cerah dan berseri.

Antara yang paling terkenal adalah amalan meminum air soya yang dikatakan boleh membantu mencapai matlamat tersebut.

Persoalannya, benarkah makanan atau minuman yang mengandungi warna putih atau gelap mampu mempengaruhi warna kulit kanak-kanak?

Menurut Pegawai Perubatan Kehamilan dan Sakit Puan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Aimi Rahayu Abdul Rashid, warna kulit yang gelap adalah disebabkan kehadiran melanin yang terhasil daripada sel melanosit, bukannya warna minuman.

"Harus diingatkan, warna makanan atau minuman tidak akan mempengaruhi warna kulit pada bayi.

"Ini kerana sistem penghadaman dalam badan tidak bersambung dengan rahim. Makanan yang dimakan akan dicernakan ke dalam sistem penghadaman.

"Molekul yang sudah tercerna inilah akan diberikan kepada bayi melalui uri (placenta)," katanya ketika ditemui mStar Online.

Tambahnya lagi, kuantiti melanin yang dihasilkan menentukan kecerahan kulit seseorang dan ia bergantung kepada faktor genetik.

"Warna kulit kanak-kanak juga bergantung kepada faktor genetik pada baka kedua ibu dan bapanya.

"Misalnya jika si ayah berkulit gelap manakala si ibu pula berkulit cerah, maka warna kulit bayi yang terhasil adalah campuran kedua-dua baka tersebut.

"Oleh itu, penyelesaian sebenar untuk mereka yang ingin mendapatkan anak yang putih adalah berkahwin dengan orang yang memiliki warna kulit yang cerah," katanya berseloroh.

MedTweetMy , air soya , kulit putih
Semua
Hiburan
Berita
Variasi