Takut anak tak cerdik, ibu bapa paksa makan vitamin minda - Video | mStar

PRODUK makanan tambahan yang didakwa boleh membantu menguatkan IQ atau minda kanak-kanak masih diragui keberkesanannya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Kawalan Penyakit, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Khairul Hafidz Alkhair Khairul Amin, makanan tambahan sama ada berbentuk jus atau pil sama sekali tidak membantu meningkatkan tahap kepintaran seseorang individu.

"Tidak dinafikan setiap ibu bapa mahu memberi yang terbaik khususnya dalam kejayaan akademik anak-anak mereka.

"Kerana itu ibu bapa lebih cenderung untuk mempercayai produk-produk yang dikatakan mampu membantu meningkatkan perkembangan minda anak.

"Bagaimanapun belum ada kajian saintifik yang membuktikan vitamin tambahan terbabit mampu menjadikan seseorang itu pandai," katanya ketika ditemui mStar Online.

Dr Khairul Hafidz sebaliknya memberitahu lambakan suplemen dalam pasaran dibimbangi akan memudaratkan kesihatan pengguna.

"Pengambilan ubat-ubatan yang dijual secara terbuka ini ditakuti memberi kesan sampingan terhadap kanak-kanak.

"Kadang-kadang kita tidak tahu kandungan sebenar yang terdapat dalam bahan terbabit," katanya.

Sebaliknya Dr Khairul Hafidz berkata, tahap kepintaran seseorang itu sebenarnya bergantung kepada cara pemakanan dan gaya hidup yang diamalkan.

"Jika seseorang itu boleh memahami sesuatu perkara itu dengan baik bererti mereka seorang yang fokus.

"Bagaimana untuk lebih mudah fokus? Anda perlu mengamalkan pengambilan makanan yang baik dan berkualiti di mana ia akan membentuk kesihatan yang baik," katanya.

Justeru Dr Khairul Hafidz menyeru ibu bapa supaya mengutamakan kesihatan anak-anak berbanding hasrat untuk berlumba-lumba menjadikan anak lebih cerdik dengan bantuan vitamin tambahan.

Semua
Hiburan
Berita
Variasi