Enam ekor kucing mati tanpa sebab, Shima masih terima gangguan sihir selepas tutup kedai - Video | mStar

Enam ekor kucing mati tanpa sebab, Shima masih terima gangguan sihir selepas tutup kedai

PENYANYI terkenal 90-an, Shima, mendedahkan dia masih menerima gangguan sihir daripada individu tidak bertanggungjawab sehingga mengakibatkan enam ekor kucing peliharannya mati berturut-turut.

Shima atau nama sebenarnya Ku Nazhatul Shima yang terkenal dengan lagu Teringin ini juga tidak menolak beberapa penyakit misteri yang membuatkan dia tidak mampu berjalan adalah berpunca daripada kesan sihir yang berterusan.

ARTIKEL BERKAITAN: Shima ‘Teringin’ syukur dapat rumah PPR, lega nasib terbela

“Benda-benda syaitan dan iblis ni memang wujud dan saya telah berubat, ingatkan selepas gerai makanan yang diusahakan tutup akan membuatkan ia berkurangan namun jangkaan saya meleset apabila keadaan semakin teruk saban hari.

Shima dedah enam ekor kucingnya mati terkena sihir.

“Saya juga kehilangan enam ekor kucing peliharaan yang mati secara berturut-turut baru-baru ini, sampaikan doktor sendiri tidak mengetahui punca sebenar ia terjadi,” kata Shima kepada mStar.

Shima, 50, berkata demikian semasa majlis penyerahan surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 2 oleh Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan, Yang Berhormat Puan Hajah Zuraida Kamaruddin pada Jumaat.

Dalam pada itu,bekas ahli kumpulan Shima and The Boys ini meluahkan rasa lega apabila nasibnya yang kini bergelar golongan asnaf mendapat perhatian pihak kerajaan.

Shima terima surat tawaran Program Perumahan Rakyat (PPR) daripada Yang Berhormat Puan Hajah Zuraida Kamaruddin.

“Saya amat bersyukur apabila terpilih sebagai penerima Program Perumahan Rakyat ni, namun sejujurnya saya tak berupaya nak pindah secepat mungkin kerana kurang mampu untuk menampung kos sewa lori dan sebagainya.

“Rumah baru ini juga bakal mengurangkan sedikit beban yang saya dan suami tanggung selama ini, mana nak cari rumah sewa yang cuma berharga RM255 sebulan? Saya ni kira sangat bernasib baik, pihak zakat pun ada bantu daripada segi makanan, perubatan dan wang tunai,” tambahnya.

shima , sihir
Semua
Hiburan
Berita
Variasi