Pakar psikiatri 'bedah' nota pelajar cuba bunuh diri sebab cinta - Video | mStar

INSIDEN pelajar lelaki cuba membunuh diri mengundang pelbagai reaksi banyak pihak apabila dia yang baharu menjangkau usia 13 tahun berbuat demikian kerana masalah percintaan yang dihadapinya.

Malangnya isu yang seharusnya dipandang serius itu dijadikan jenaka masyarakat susulan masih kurang kesedaran atau pengetahuan mengenai masalah kesihatan mental.

Perlu difahami, masalah kemurungan bukan hanya berlaku pada orang dewasa malah turut dirasai kanak-kanak dan remaja.

Menurut Pakar Psikiatri, Dr Ahmad Rostam Md Zin, kemurungan dianggap sebagai masalah kesihatan mental yang disebabkan gangguan emosi seperti kebimbangan atau tekanan.

Jelas anggota MedTweetMy tersebut, beliau menganggap insiden pelajar cuba membunuh diri dengan memanjat bumbung sebuah sekolah di Banting, Selangor itu sebagai tindakan melulu dan bukan dengan niat mahu membunuh diri.

"Pada dasarnya kita sangkakan budak ini cuba bunuh diri sebab cintanya ditolak namun pada pengamatan saya, untuk seseorang itu mencederakan diri atau bunuh diri tidaklah semudah itu.

"Bunuh diri kerana cinta ditolak itu bukan punca utama, pasti ada isu yang lebih besar disebalik itu sehingga membuatkan dia melakukan perkara itu.

"Saya yakin perbuatan pelajar itu lebih menjurus kepada tindakan melulu hingga membahayakan diri berbanding niat untuk nak bunuh diri," katanya ketika dihubungi mStar Online pada Rabu.

Selain itu dia turut menzahirkan rasa kesal dengan sikap sesetengah netizen seolah-olah memandang remeh isu berkenaan.

"Saya tak tahu bagaimana situasi psikologi dia. Walaupun nota ditinggalkan seolah-olah dia putus cinta, tetapi kami sebagai pakar psikiatri melihat ia sebagai sesuatu yang dilakukan tanpa pertimbangan rasional.

"Cuma saya agak terkesan apabila ramai netizen yang mempermainkan situasi itu. Kalau kita faham masalah psikologi, ia bukan suatu perkara mudah yang boleh diselesaikan begitu sahaja kerana pesakit tiada pertimbangan yang rasional untuk masalah yang dihadapinya.

"Orang anggap penyakit kemurungan masalah emosi biasa padahal ia adalah penyakit diluar kawalan diri," katanya.

MedTwetMy , bunuh diri , kesihatan mental
Semua
Hiburan
Berita
Variasi