Realitinya penonton suka lawak unsur lucah - Pelawak generasi baharu - Video | mStar

LAWAK berunsur lucah, mempersenda dan penggunaan bahasa yang agak kasar tidak begitu diterima generasi terdahulu kerana dikhuatiri menyingung sensitiviti dan perasaan orang lain.

Malah, budaya masyarakat Melayu sendiri yang tinggi nilai moralnya juga menjadikan perihal 'dalam kain' ini tidak dibincangkan secara terbuka.

Namun pelawak generasi baharu, Ahmad Zaidi Masri atau nama pentasnya JD memiliki pandangan tersendiri apabila menganggap jenaka yang mempunyai elemen seksual dan sensitif sebagai satu kemestian dalam arena pelawak tunggal atau stand-up comedy.

Menurutnya generasi masa kini lebih berfikiran terbuka dan menggemari lawak yang memiliki maksud mendalam (deep), mempersenda (troll) dan mempunyai maksud tersirat (double meaning).

"Elemen jenaka seperti itu adalah unsur yang paling kuat dalam hidup setiap manusia tak kira lelaki atau perempuan. Kita perlu jujur, berkata benar walaupun pahit.

"Sejak adanya media sosial, kita lihat masyarakat kini sudah terbuka untuk menerima lawak berunsur lucah, cuma mereka segan untuk gelak dan tak berani nak sembang secara terbuka.

"Media sosial membuatkan golongan ini lebih bijak untuk menilai sesuatu lawak dan mereka ini merupakan golongan yang berinformasi. Namun diakui ada sesetengah daripada mereka yang tidak menerima cara jenaka seperti ini, lebih suka memandang dari sudut negatif atau yang pura-pura dan cuba nak tunjuk baik," katanya ketika ditemui mStar Online.

Menurut JD yang juga salah seorang pelawak rancangan Oi! Jaga Mulut! yang disiarkan menerusi saluran iflix, program berkonsepkan 'cakap lepas' seperti ini cukup menghiburkan dan mendapat permintaan ramai khususnya warga kota.

"Sebenarnya masyarakat kita sudah bersedia, malah lawak sebegini juga mempunyai demand.

"Namun memang agak sukar untuk kita tambat hati penonton yang sudah biasa dengan lawak-lawak ringan di televisyen.

"Tapi kita akan cuba untuk didik mereka menonton lawak-lawak yang lebih berat dan serius. Perlukan masa untuk buka minda masyarakat," ujarnya.

Rancangan Oi! Jaga Mulut! yang memasuki musim ke-2 dan bersiaran secara percuma setiap Khamis bermula 7 Mac ini menerusi iflix Malaysia  merupakan program komedi stand-up berkonsepkan 'cakap lepas' dengan mengetengahkan pelbagai topik termasuk adat, budaya, dan tradisi masyarakat Malaysia yang unik melalui jenaka mereka tersendiri.

Program dengan format komedi baharu itu bakal menampilkan empat pelawak generasi baharu iaitu Rayza Mukmin, Farid Azmeir, JD dan Nizam Jentik-Jentik menerusi set solo mereka.

Ahmad Zaidi Masri.

Mengulas lanjut mengenainya, JD bagaimanapun berkata garapan sketsa dengan menerapkan elemen seksual bukan berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa sebaliknya setiap jenaka yang dilakukan berdasarkan sesuatu yang logik serta situasi yang dilihat sendiri.

"Saya mula dengan lawak begini daripada rakan-rakan untuk tengok reaksi mereka. Setakat ini mereka gelak dan mereka boleh terima lawak sebegitu. Jika mereka boleh terima, mesti orang lain juga boleh terima.

"Apabila saya cuba melalui live show saya dapat lihat masyarakat lain juga mula menerima jenaka seperti ini.

"Kalau kita sembang politik dalam nada yang serius ia boleh membawa kepada pergaduhan. Tapi kalau diceritakan dalam bentuk komedi, semua orang boleh gelak tetapi mesej itu sampai. Jadi itu kelebihan dalam stand-up comedy ini", katanya yang juga merupakan seorang ahli perniagaan.

JD yang percaya dengan bakat yang dimilikinya bagaimanapun faham dan menghormati budaya masyarakat jika ada pihak yang masih belum terbuka mengenai lawak berunsur seksual.

"Namun apa yang saya kagum adalah rakyat di Indonesia lebih menerima lawak sebegini. Bangsa mereka lebih faham dengan konsep stand-up comedy. Mungkin sebab mereka lebih terdedah dengan hiburan begini.

"Orang kita pula memang tunggu masa je nak hentam orang seperti saya. Mereka pernah mempersoalkan lawak saya, padahal dalam hati dan otak dia fikir benda yang sama.

"Asalkan kita tahu nilai jenaka yang kita bawa, perkara yang ingin disampaikan, saya rasa kita tidak melakukan perkara yang salah," katanya.

Nizam Jentik-jentik, Farid Azmeir, Rayza Mukmin

Bagaimanapun, Nizam Jentik-jentik, 38, punya tanggapan berbeza apabila dia memilih jenaka yang dianggap lebih bijak, selamat namun memiliki elemen surprise yang lebih besar.

"Kalau boleh saya memang mengelak untuk buat lawak yang memiliki unsur seksual sebab bukan semua orang suka dengan joke-joke begitu.

"Bagi saya jenaka seperti itu adalah cheap joke. Kalau you bawa joke tu ke mana-mana persembahan kecil, senang orang nak ketawa tapi dia akan jadi jenaka murahan lah.

"Saya memilih untuk menekankan elemen logik, bercerita mengenai diri saya dan orang-orang di sekeliling. Contohnya kerjaya, isteri atau anak. Lebih kepada pengalaman diri kerana jenaka seperti itu lebih selamat, mesra TV dan audience," katanya.

Turut senada dengan pandangan itu, Mohd Rizal Fahmi Mukhtar atau lebih popular dengan nama Rayza Mukmin, 32, dan Farid Azmeir, 25, yang mengelak untuk bermodalkan lawak lucah semata-mata mahu menarik perhatian penonton.

"Saya tak berapa suka nak mencarut atau melucah. Mungkin JD punya cara tersendiri. Saya selesa berjenaka berdasarkan penceritaan dan pemerhatian. Lagipun ia tidak kena dengan tema yang di bawa.

"Komedi adalah subjektif, terpulang kepada seseorang pelawak itu untuk mengembangkannya.

"Jadi lawak berunsur lucah yang diterapkan seseorang pelawak itu saya anggap ia sebagai kepelbagaian dalam stand-up comedy," katanya.

Pelawak Generasi Baru Oi! Jaga Mulut! musim ke-2

iflix , Oi Jaga Mulut
Semua
Hiburan
Berita
Variasi