Ahirine gadis lasak, tangkas di trek off-road - Video | mStar

Ahirine gadis lasak, tangkas di trek off-road

BERBEZA dengan penunggang motosikal lasak yang lain, Ahirine Ahirudin akui kelajuan bukan matlamat utama dia mendekatkan diri dengan sukan berkenaan.

Kata gadis berusia 23 tahun ini, menguasai teknik menunggang dan mengendalikan jentera dua roda itu dengan baik bakal membawanya menerokai dunia.

Walaupun kedengaran agak mustahil bagi gadis sepertinya, namun itulah impian Ahirine selepas menceburi sukan bermotosikal.

"Saya mula terlibat secara aktif ketika berusia 17 tahun. Tujuan saya menceburi bidang ini bukan untuk kelajuan sebaliknya lebih kepada menghayati pemandangan indah sepanjang perjalanan menuju ke sesuatu destinasi.

"Minat itu mula timbul selepas saya melihat ayah saya ke Makkah dari Kuala Lumpur hanya menaiki motosikal. Sejak itu saya mula membaca mengenai kisah yang dikongsikan penunggang lain.

"Rupanya ramai yang meneroka dunia menaiki kenderaan dua roda ini. Namun untuk jadi seperti mereka, saya perlu menyiapkan diri bermula dengan latihan off-road," katanya.

Cerita penulis sambilan di sebuah syarikat akhbar ini lagi, bapanya, Datuk Ahirudin Attan atau lebih popular dengan nama Rocky Bru menjadi individu pertama yang mengajarnya mengenai asas menunggang motosikal.

Peluang menyaksikan sendiri bagaimana Ahirine mengikuti latihan menunggang motosikal ternyata membuatkan penulis kagum dengan kecekalannya.

Aura gadis berwajah polos ini cukup terserlah terutama ketika meniti kawasan berliku, berbukit, dan cerun landai.

Gayanya yang bersahaja seakan-akan tiada bahaya menanti ketika menunggang di laluan mencabar, meletakkan gadis ini dalam kelasnya tersendiri.

Bukan sekadar hebat beraksi di litar off-road, Ahirine juga cukup bertenaga beraksi di atas jalan raya.

Berkongsi aktivitinya pada hujung minggu, Ahirine berkata setiap minggu dia menjadikan beberapa lokasi sebagai medan untuk menguji kemampuan diri menunggang motosikal.

"Selain mencabar, sukan ini mampu menguji daya tahan mental dan mengasah kecekapan fizikal saya.

"Sebelum ini saya kurang keyakinan diri, tunggang motor tepi kereta pun takut-takut," kata anak kedua daripada tiga beradik ini.

Ternyata, keseronokan menunggang nyata sukar untuk diterjemah dengan kata-kata.

Minatnya itu turut mendorong Ahirine untuk memiliki motosikal dan peralatan sendiri sekaligus menjadikan aktiviti menunggang sebagai rutin ketika masa lapang meskipun mengakui kos untuk sukan lasak itu agak tinggi.

"Tidak dinafikan, sukan permotoran seperti ini memerlukan banyak wang.

"Cuma, kos untuk sukan off-road ini tidak terlalu tinggi jika dibandingkan dengan motosikal berkuasa tinggi lain. Kalau superbike itu mahal.

"Jadi sebab itulah saya sanggup mengumpul duit untuk memiliki motor saya sendiri dan membiayai latihan di trek," katanya.

Most Fun Gym , Ahirine Ahirudin , Rocky Bru
Semua
Hiburan
Berita
Variasi