MENJALANI kehidupan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), peniaga Saad Habizal tetap bersyukur dan menerima takdir dilahirkan dalam keadaan istimewa.
Mengakui bukan mudah menjalani kehidupan sebagai insan istimewa, Saad atau Saad Habizal, 42, berkata dia pernah berdepan pelbagai tanggapan sinis segelintir masyarakat terhadap kekurangan dirinya itu.
Pernah dipandang hina sewaktu mencari rezeki meniaga kerepek namun individu ini akur dan percaya pada rezeki tertulis untuk dirinya itu.
“Saya dulu meniaga ikan pekasam kemudian saya berhenti meniaga tu tukar kepada kerepek di kawasan masjid dan surau, saya ada minta kebenaran meniaga pada ajk masjid, kalau mereka tak benarkan saya akan bergerak ke tempat lain, kadang-kadang ada juga imam masjid yang halau saya sebab tiada minta surat kebenaran.
“Ada juga yang suruh saya minta kebenaran pada nazir masjid tapi lain pula jadinya, dia cakap kalau nampak saya meniaga lagi jadi nak rampas barang ni,” katanya kepada mStar.
Dalam pada itu, Saad memberitahu tahap kesihatannya mulai merosot sejak usianya mula mencecah 40 tahun.
“Sejak usia tiga tahun jadi macam ni tapi akhir-akhir ni bila usia 37 tahun ni badan makin sakit dan doktor cakap kena buat pembedahan untuk tulang,” ujarnya.
Untuk segmen mStar Baek musim ketiga ini, mStar bekerjasama dengan KPJ Healthcare mengunjungi kediaman peniaga OKU ini di Taman Desa Keramat, Kuala Lumpur bagi mengetahui perkembangan terkini kesihatannya.
Selain sumbangan wang tunai Rm3,000, Saad juga diberikan kad rawatan bagi melayakkannya dan keluarga mendapatkan rawatan percuma di mana-mana Klinik Waqaf An Nur di seluruh Malaysia.
Program mStar Baek ini bersiaran di semua platform mStar setiap hari Khamis.
TONTON VIDEO PENUH MSTAR BAEK X KPJ INI