Peminat terkilan Haqiem Rusli tak rakam lagu 'Kenangan', bandingkan suara Zack Zakwan - Video | mStar

Peminat terkilan Haqiem Rusli tak rakam lagu 'Kenangan', bandingkan suara Zack Zakwan

SELEPAS menerima sambutan baik daripada pendengar di YouTube, lagu demo berjudul Kenangan ciptaan Haqiem Rusli akhirnya dirakamkan seorang pendatang baharu dalam industri hiburan.

Susulan itu, lagu yang dilancarkan pada 15 Februari lalu dan dinyanyikan penyanyi Zack Zakwan menerima pelbagai reaksi daripada peminat yang sebelum ini mengharapkan ia dirakamkan Haqiem sendiri.

Antara peminat yang meluahkan rasa kecewa mereka

Bagaimanapun menurut Haqiem, dia mempunyai alasan tersendiri apabila memberi kepercayaan kepada Zack menyanyikan lagu tersebut.

"Lagu itu memang sudah lama dihasilkan, namun ia hanya untuk demo dengan iringan gitar. Mungkin itu salah satu sebab mereka yang menantikan versi penuh single Kenangan kecewa apabila mengetahui bukan saya yang bawakan lagu tersebut.

“Saya secara peribadi merasakan Zack Zakwan lebih sesuai menyanyikan lagu ini kerana ia tidak terlalu 'berat' berbanding lagu-lagu yang pernah saya nyanyikan sebelum ini. Jadi tidak salah rasanya jika saya beri peluang kepada dia untuk menempa nama," kata Haqiem kepada mStar Online.


Haqiem minta peminat beri peluang untuk Zack Zakwan

Untuk rekod, lagu Kenangan versi demo yang dinyanyikan Haqiem hingga kini menerima lebih dua juta tontonan di YouTube selepas ia dimuat naik pada Ogos 2017.

Bagaimanapun menurut Haqiem, 21, dia bakal melancarkan dua buah single baharu pada tahun ini bagi mengubat luka para peminatnya.

“Akhir bulan ini saya akan melancarkan lagu berentak electronic dance music (EDM) bertajuk What Can I Do For You? yang sudah siap sepenuhnya.

“Malah saya akan lancarkan juga lagu balada berjudul Lembah Kesepian pada pertengahan tahun ini. Lagu ini saya sasarkan untuk dipertandingkan dalam mana-mana anugrah ,” tambah Haqiem.

haqiem rusli
Semua
Hiburan
Berita
Variasi