suria

Arja Lee kini pensyarah universiti, sudah tak minat dunia glamor dan lebih tenang menetap di Kelantan

SEJAK bergelar pensyarah di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) tahun lalu, pelakon Arja Lee mengambil keputusan meninggalkan bidang seni bagi membolehkan dia memberi tumpuan kepada karier baharunya itu.

Arja atau Azharudin Ramli, 39, berkata, dia tidak mahu lagi terbabit dalam dunia glamour sebagai seorang selebriti dan lebih tenang menjalani kehidupan tanpa sebarang kontroversi di Kelantan.

"Alhamdulillah saya selesa dengan kehidupan saya sekarang... ada pekerjaan tetap dan paling penting ada pendapatan bulanan yang tak perlu saya risau setiap bulan.

"Dekat sini saya mahu menjalani hidup tenang dan bebas daripada sebarang kontroversi sebagai seorang selebriti.

"Disebabkan itu, saya mengambil keputusan tinggalkan bidang seni buat masa ini bagi memberi tumpuan kepada tanggungjawab sebagai seorang pensyarah yang turut memerlukan komitmen tinggi," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Arja berkata, dia semakin seronok dan selesa menetap di Kelantan memandangkan kos sara hidup yang jauh lebih rendah berbanding di Kuala Lumpur.

Kehidupannya bukan sahaja lebih sederhana tetapi tenang tanpa sebarang gangguan selain tidak lagi memikirkan kehidupan 'glamour' sebelum ini.

"Kos sara hidup di Kelantan lebih rendah dan saya tidak lagi perlu memikirkan hal-hal berkaitan dunia hiburan. Fokus saya sekarang adalah terhadap pekerjaan sebagai pensyarah dan mendidik anak bangsa," jelasnya.

Sementara itu, Arja berkata, bekerja sebagai pensyarah bukan kebetulan tetapi sejak dahulu lagi dia memang menyimpan impian untuk bergelar seorang pendidik.

Kata Arja, dia bersyukur impian melanjutkan pengajian seterusnya diterima sebagai pensyarah terlaksana dan akan menggunakan ilmu dan pengalaman sebagai pelakon sebelum ini untuk dicurahkan kepada pelajar di universiti.

Dalam perkembangan lain, Arja memberitahu bakal menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) tidak lama lagi.

Pelakon filem Anu Dalam Botol itu juga baharu sahaja menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pengajian Persembahan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi