suria

Bukan sekadar jaguh media sosial, Sofyank mahu terbit filem setaraf Marvel Studios

PEREKA kandungan digital Sofyank tidak hanya mahu bergelar jaguh media sosial sebaliknya menyimpan hasrat menubuhkan syarikat produksi miliknya sendiri suatu hari nanti.

Sofyank atau Muhammad Sofian Abdullah, 27, berkata, sudah menjadi impiannya untuk menerbitkan filem genre sains fiksyen kerana minatnya terhadap karya terbitan Marvel Studios.

"Menjadi impian saya untuk menghasilkan filem genre sci-fi yang sarat dengan teknologi terkini termasuk menampilkan superhero dan gajet yang tiada siapa pernah jangka ia wujud.

"Insya Allah dengan sokongan penggemar video saya, impian nak menghasilkan filem setanding karya terbitan Marvel Studios akan terapai," katanya kepada mStar.

Dalam pada itu, Sofyank turut meluahkan hasrat untuk berkolaborasi dengan bintang Ironman iaitu Robert Downey Jr dan Beto Kusyairy dalam projek berikutnya jika diizinkan.

"Sebelum ini saya pernah bekerjasama dengan Amerul Affendi, jadi sasaran saya sekarang adalah untuk dapatkan Beto Kusyairy.

"Kalau bintang luar negara, sudah tentu idola saya iaitu Robert Downey Jr yang juga bintang Ironman," katanya.

Bulan lalu, Sofyank mengharumkan nama negara apabila menjuari pertandingan VFX Ultimate Challenge yang dianjurkan oleh idolanya iaitu Zach King yang berlangsung di Los Angeles.

Tidak hanya itu, Sofyank turut muncul dengan video kolaborasi khas bersama Zach yang disifatkan sebagai hadiah untuk semua peminatnya.

Menerusi klip video pendek itu, kelihatan kedua-duanya berlakon dengan menampilkan aksi 'magik' di mana kopi yang dihidangkan oleh Zach King kepada Sofyank bertukar menjadi kek dan papan tanda menu pula bertukar menjadi kain napkin yang digunakan semasa makan.

Zach turut memuat naik video berkenaan di TikTok miliknya yang sehingga kini mendapat 67.8 juta tontonan.



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi