suria

Orang JB memang 'sporting', ribuan serbu Jelajah Suria 2019

SIRI Jelajah Suria 2019 anjuran stesen radio Suria FM menerima sambutan hebat pengunjung di Angsana Johor Bahru Mall, Johor pada Sabtu lalu.

Pelbagai aktiviti telah diadakan dan sudah pasti persembahan daripada barisan artis seperti Akim & The Majistret, Siti Nordiana, Gmie Screen, Adira, Hazama, Hafiz Suip, Tomok, Amir Masdi dan One Avenue Band paling dinanti-nantikan.

Menurut Pengurus Kanan Suria FM, Roslinda Abd Majid atau DJ Lin, acara tahunan ini diadakan bertujuan untuk mendekatkan Suria dengan pendengar di seluruh Malaysia.

"Alhamdulillah, jelajah di Johor selesai dengan jayanya, saya terharu apabila mengetahui ada pendengar yang datang dari jauh semata-mata ingin bersama dalam acara ini.

"Saya mewakili Suria mengucapkan ribuan terima kasih dan kami sangat menghargai sokongan semua pendengar setia. Insya-Allah kita jumpa di lokasi lain pula ya!," katanya kepada mStar Online.

Turut hadir ialah Pengerusi Kumpulan Radio Star Media, Datuk Dr Mohd Aminuddin Mohd Rouse.

Istimewanya Jelajah Suria 2019, portal mStar Online turut sama mengisi slot khas meraikan pembaca setia.

Pengunjung bertuah yang berjaya menjawab soalan berkaitan mStar menerima hadiah berupa jam tangan pintar Mi Band 2 tajaan Shopee Malaysia, set penjagaan diri daripada Asianic, cenderahati Air Asia dan snek ringan MAMEE.

Konsert Jelajah Suria bermula pukul 2 petang hingga 6 petang dan digamatkan dengan keletah penyampai iaitu DJ Lin, Sharifah Shahira, Issey, Tyzo, Suraya Borhan dan Feeya Iskandar.

Sehari sebelum jelajah bermula, tim Jelajah Suria berkesempatan meninjau Stadium Tertutup Majlis Perbandaran Pasir Gudang yang menjadi pusat saringan kes pencemaran sisa kimia berbahaya.

Dalam kunjungan tersebut, bantuan berupa makanan dan keperluan asas diserahkan kepada petugas dan mangsa.

Jelajah Suria 2019 memulakan promosinya di Johor Bahru dan seterusnya akan menjelajah tiga lokasi lain iaitu Kuantan City Mall, Pahang pada 23 Mac, AEON Station 18 Ipoh, Perak (30 Mac) dan Aman Central Alor Setar, Kedah (6 April).

Jelajah Suria


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi