Aaron Aziz naik angin, terpedaya 'scammer' guna gambar bayi meninggal dunia minta derma - Video | mStar

Aaron Aziz naik angin, terpedaya 'scammer' guna gambar bayi meninggal dunia minta derma

PELAKON Datuk Aaron Aziz membuat laporan polis di Balai Polis Seksyen 9, Shah Alam berhubung penipuan sindiket yang menggunakan gambar seorang bayi yang sudah meninggal dunia bagi mengutip derma.

Menurut Aaron, 43, dia berkongsi maklumat tersebut di laman Instagram tanpa menyemak dengan lebih tepat dan mengetahui kesahihan berita itu pada pagi Selasa.

"Assalamualaikum, ini follow up dari kes semalam yang saya dah padam. Saya ambil dari Facebook Persatuan Kanser Bersatu Malaysia, saya dah telefon nombor itu semua, Facebook nampak macam betul.

"Saya dah buat laporan polis, biarlah polis buat siasatan selanjutnya, siapa bersalah, biarlah kita tahu nanti.

"Selalunya saya sangat berhati-hati berkongsi sesuatu tapi kali ini tengok gambar seorang bayi membuatkan saya terlalu beremosi. Saya minta maaf semua!," katanya menerusi Instagram pada Selasa.

Penipuan meminta derma untuk seorang bayi yang menghidap kanser di laman sosial.

Hasil carian di internet mendapati bayi berkenaan bernama Derek Cantor yang dilahirkan pada November 2016 telah meninggal dunia pada April 2017 kerana kanser.

Sementara itu, pelawak Shuib yang turut memuat naik info yang sama di laman Facebooknya turut kecewa dengan perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang melakukan penipuan untuk mendapatkan wang dengan cara mudah.

"Semalam saya ada muat naik gambar seorang bayi menghidap kanser dan perlukan bantuan untuk kos rawatan.

"Ramai beritahu saya itu penipuan (scam) dan setelah diselidik rasanya memang scam. Ingat nak bantu tapi rasa sedih sebab ada orang gunakan benda macam ni untuk kepentingan diri sendiri.

"Kepada penipu tu, kita doakan dia selamat dunia akhirat. Bagi yang dah menderma tu kita halalkan sajalah kerana Allah tahu niat kita," katanya.

TONTON VIDEO PENUH YANG DISEDIAKAN MSTAR ONLINE.

Aaron Aziz
Semua
Hiburan
Berita
Variasi