Penangkap ular viral, rupa-rupanya lelaki ini tanggung sengsara kerana tedung senduk - Video | mStar

BERTERASKAN keberanian dan pengalaman selama hampir 18 tahun menangkap haiwan berbisa membuatkan lelaki ini digelar 'pawang ular' dalam kalangan penduduk kampung Permatang Durian, Padang Serai, Kedah.

Ashraf Mohamad, 30, memberitahu dia mula berjinak-jinak dengan aktiviti berkenaan sejak berusia 12 tahun dan pernah beberapa kali dipatuk binatang berbisa itu.

"Pengalaman pertama saya menangkap ular ketika berusia 12 tahun. Sejak itu sudah beberapa kali saya dipatuk ular.

"Hampir setiap hari ada sahaja kes melibatkan ular sama ada kampung sendiri atau kawasan sekitar, kebiasaannya mereka akan mendapatkan bantuan saya sehingga mereka gelar pawang ular," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Jumaat.

Bagaimanapun Ashraf memberitahu dia melakukan kerja menangkap ular secara sukarela tanpa mengharapkan wang ringgit.

"Ia dah jadi seperti hobi, saya lebih suka membantu penduduk kampung. Walaupun ada kalanya mereka hubungi saya sekitar pukul 2 pagi.

"Saya tak harapkan balasan, cukup sekadar ucapan terima kasih," katanya.

Bercerita lanjut, Ashraf yang pernah bekerja sebagai kontraktor elektrik memberitahu dia hampir kehilangan sebelah tangannya gara-gara dipatuk ular tedung senduk dalam insiden empat tahun lalu.

"Ketika itu doktor nasihatkan supaya potong tangan kanan kerana sudah rosak dan sukar untuk diselamatkan.

"Namun saya ambil keputusan untuk cuba perubatan tradisional, Alhamdulillah ia berhasil. Namun sampai ke hari ini, saya berasa sakit sampai ke tulang apabila hujan lebat," katanya.

Cerita Ashraf lagi, sejak insiden itu dia terpaksa berehat selama dua tahun dan kehilangan pekerjaan.

"Sehingga kini saya hanya ambil upah buat kerja-kerja kampung serta mengecat rumah," katanya.

Tambah anak ketiga daripada lima beradik ini, mengendalikan ular berbisa seperti tedung selar dan tedung senduk memerlukan daya tumpuan yang tinggi.

"Berdepan ular berbisa bukan mudah kerana perlu memahami 'perangai' ular itu supaya kita tidak diserang atau dipatuk.

"Ibu bapa saya pernah melarang tapi mereka sudah lali. Ayah sering beri sokongan dan kadang-kala turut membantu saya jika ada operasi. Saya sedar apa yang saya lakukan memang bahaya tetapi bila orang dah panggil minta tolong, saya kena tolong," katanya yang pernah berguru dengan seseorang mengenai ilmu menangkap ular.

pawang ular , Ashraf Mohamad
Semua
Hiburan
Berita
Variasi