Lepas peluk, mek Kelantan ini ajak sang buaya mandi dalam bilik air - Video | mStar

Lepas peluk, mek Kelantan ini ajak sang buaya mandi dalam bilik air

GARA-GARA terlalu meminati haiwan eksotik, seorang gadis dikatakan memiliki keberanian luar biasa apabila aksi selamba dia memeluk seekor buaya menjadi perhatian netizen di media sosial.

Menurut Azy Nadia Aziz, 22, dia menemui haiwan itu berhampiran sebuah sungai di belakang rumahnya.

"Petang itu saya bersama seorang lagi rakan sedang melepak dekat sungai berdekatan rumah dan kami ternampak seekor buaya naik ke darat.

"Saya tengok dia diam dan tak agresif jadi saya cuba nak menghampirinya. Kemudian saya ambil dia bawa balik.

"Niat saya cuma nak bantu sebab ingatkan buaya itu sakit. Sampai di rumah, saya beri dia makan dan selfie sebelum lepaskan semula ke dalam sungai," ujarnya ketika dihubungi mStar Online pada Selasa.

Berkongsi pengalaman ketika cuba mendekati si bujang senang itu, Azy berkata pada awalnya dia menyangka buaya berkenaan sudah mati.

"Saya cuba dekatinya perlahan-lahan yang ketika itu sedang kaku. Saya pun ambil peluang untuk pegang dia.

"Sejujurnya saya sangat minat dengan haiwan-haiwan liar seperti itu. Kalau boleh saya nak jadi penjaga zoo dapat peluang dekat dengan binatang-binatang di sana.

"Saya sendiri tak tahu macam mana tiba-tiba ada keberanian untuk mendekati buaya tersebut. Namun, ini bukan pertama kali kerana sebelum ini saya pernah pegang ular dan biawak," katanya.

Selain itu, gadis dari Kota Bharu, Kelantan ini memberitahu dia sempat memandikan haiwan berkenaan di dalam bilik air rumahnya.

"Ia sangat jinak dan tak pernah buka mulut sepanjang bersama saya.

"Kalau boleh saya memang nak bela tapi saya tahu ia salah di sisi undang-undang," katanya sambil memberitahu ada memelihara kucing dan sugar glider di rumah.

Selain itu Azy mengakui menerima pelbagai reaksi selepas memuatnaik video bersama buaya itu di Facebook sehingga ada yang tersalah faham dan mengecam tindakannya itu.

"Saya jumpa buaya itu 31 December lalu, kiranya saya sambut tahun baru dengan dia.

"Kemudian saya upload di Facebook kerana niat saya hanya untuk berkongsi kegembiraan tapi tak sangka boleh jadi viral begini, katanya.

peluk buaya , Azy Nadia Aziz , Kelantan
Semua
Hiburan
Berita
Variasi