suria

Macam nak pengsan jika terdengar lagu Along Spoon, bapa tak sanggup simpan barang arwah

KIRA-KIRA 25 tahun pemergian penyanyi Along Spoon, bapanya iaitu Pak Engku mengakui masih tidak mampu melupakan peristiwa hitam yang meragut nyawa anaknya itu pada tahun 1999.

Pak Engku atau nama sebenarnya Shafiee Mohd Yusof berkata selepas pemergian anaknya itu, dia kehilangan punca pendapatan ditambah pula masalah kesihatannya yang semakin merosot.

“Selepas saja selesai kes arwah Along Spoon sekitar tahun 2000, saya kehilangan sumber kewangan dan terpaksa cari kerja kerana anak-anak masih kecil lagi ketika itu.

“Selepas tamat perkhidmatan di sebuah syarikat di Nilai Negeri Sembilan kemudian saya kerja kampung kecil-kecilan... Tapi pada tahun 2010, ada satu kejadian saya terpijak paku menyebabkan luka teruk sehingga kaki kiri terpaksa dipotong.

“Sekarang ini saya memang menerima bantuan sepenuhnya daripada Baitulmal untuk biayai kos rawatan dialasis buah pinggang dan menerima bantuan kewangan,” kata Pak Engku kepada mStar.

Untuk segmen mStar Baek kali ini, mStar bersama KPJ Healthcare menziarahi Pak Engku di kediamannya bertempat di Kuala Lumpur bagi bertanya khabar dan menghulurkan sumbangan.

Untuk rekod, program mStar Baek diterbitkan untuk siaran di semua platform video dan media sosial mStar dan bersiaran pada setiap Khamis bermula 5 Oktober lalu yang menyaksikan Allahyarham Jaafar Onn sebagai selebriti dan artis pertama yang menerima kunjungan.

Peserta terpilih turut menerima wang tunai RM3,000 untuk perbelanjaan harian, kad perubatan untuk kegunaan 12 kali rawatan serta kelengkapan alat bantuan perubatan.

TONTON VIDEO PENUH MSTAR BAEK X KPJ INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi