suria

Kesian Delimawati dihalau keluar homestay Kuala Kangsar pukul 3 pagi, kena tempias produksi positif Covid-19 - “Semua kena punggah balik KL Subuh tu juga”

AKIBAT nila setitik, rosak susu sebelanga... itu yang terjadi kepada pelakon veteran Delimawati yang dihalau dari homestay atau rumah penginapan di Kuala Kangsar, Perak kira-kira pukul 3 pagi, Ahad.

Delimawati, 63, yang sedang menjalani penggambaran sebuah drama terkilan apabila produksi mereka yang mengikut prosedur operasi standart (SOP) turut terkena tempias gara-gara sikap tidak bertanggungjawab produksi lain hingga wujud kes positif Covid-19 di kawasan berkenaan.

Menurutnya, dia dan beberapa pelakon senior lain yang turut terlibat dalam drama itu terpaksa bertolak balik ke Kuala Lumpur pagi Ahad.

“Kita duduk satu homestay dekat Kuala Kangsar, pukul 3 pagi ada yang ketuk-ketuk pintu. Saya terkejut juga, individu itu cakap kita semua kena keluar dan kena balik Kuala Lumpur sekarang.

“Kami bertolak ke Kuala Lumpur kira-kira pukul 7 pagi, semua kena punggah Subuh tu juga. Saya harap produksi lain jagalah SOP, janganlah ambil orang yang tiada dua dos vaksin,” ujarnya kepada mStar.

ARTIKEL BERKAITAN: Syafie Naswip jadi mangsa produksi langgar SOP ambil kru tak lengkap vaksin - “Selepas viral baru mahu tanggung semuanya”

Delimawati turut meluahkan rasa terkilan kerana industri kreatif baru sahaja dibenarkan untuk beroperasi namun sudah timbul isu pelanggaran SOP.

“Semua yang buat penggambaran di Kuala Kangsar kena berhenti, kita pun terkejut juga sebab kena stop dan kena balik Kuala Lumpur.

“Apabila ditanya rupa-rupanya ada production yang terlibat dengan Covid-19,” katanya.

Sebelum itu, pada Ahad, pelakon Syafie Naswip meluahkan rasa kesal apabila produksi drama bersikap tidak bertanggungjawab dan mengabaikan SOP ketika berada di set penggambaran sehingga tercetusnya penularan wabak Covid-19.

Disebabkan perkara itu, Syafie yang sedang menjalani penggambaran drama di Kuala Kangsar, Perak terpaksa dikuarantin di sebuah hotel selepas menjadi salah seorang kontak rapat positif Covid-19.

Lebih membuatkan dia bengang apabila pihak produksi bersikap lepas tangan termasuklah mahu meneruskan penggambaran meskipun pada awalnya mengetahui ada kru yang tidak sihat.

Dapatkan info dengan mudah dan pantas! Join grup Telegram mStar DI SINI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi