Ibu bapa tak ada 'me time'? GSC PlayPlus boleh penuhi impian anda - Video | mStar

Ibu bapa tak ada 'me time'? GSC PlayPlus boleh penuhi impian anda

TIADA masa untuk diri sendiri atau 'me time' sering menjadi rungutan para ibu bapa yang mempunyai anak kecil.

Bukan mengeluh, tapi hakikatnya ibu bapa juga perlu meluangkan masa bersama sambil melakukan aktiviti kegemaran sebagai terapi minda.

Jadi apa kata anda jadikan aktiviti menonton wayang bersama anak sebagai salah satu rutin hujung minggu yang menyeronokkan.

Ia mungkin kedengaran pelik. Tapi percayalah, kini panggung wayang boleh menjadi lokasi 'dating' bersama pasangan anda tanpa perlu tinggalkan si comel kepada penjaga atau pengasuh.

Terbaharu, Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) melancarkan panggung mesra kanak-kanak dikenali sebagai PlayPlus di IOI Mall Puchong yang dilengkapi fasiliti dan persekitaran mesra keluarga.

Sebuah gelongsor besar bersama ball pit di bahagian kanan tempat duduk selain ruang bermain di bawah skrin tentunya menarik perhatian si kecil.

Ibu bapa juga tidak perlu risau kerana tahap pencahayaan di dalam panggung disetkan kepada separa malap bagi membolehkan mereka memantau pergerakan anak sambil menonton wayang.

"Sistem bunyi pun baik, sesuai untuk kanak-kanak. Walaupun menonton filem superhero, anak saya tidak terkejut dengan bunyi-bunyi daripada cerita itu," kata Cheryl Lim ketika ditemui selepas menonton filem Captain Marvel bersama anaknya, Kara yang berusia dua tahun.

Panggung yang menyediakan 80 tempat duduk ini dilengkapi beberapa jenis tempat duduk berbeza iaitu kerusi biasa, Twin seat, Cuddle couch dan Beanbag untuk dipilih mengikut keselesaan penonton.

Bagi Yuyu Zulaikha, peluang meluangkan masa bersama suami, Izwan Safuan serta dua anak mereka pada hujung minggu adalah momen yang paling ditunggu-tunggu.

"Dalam panggung ini anak-anak seronok bermain, saya dan suami pula seronok dapat tengok wayang sama-sama.

"Momen begini dah seperti 'me time' untuk kami yang mempunyai anak kecil," katanya.

Bukan sahaja susun atur panggung yang menarik dan ceria, si cilik juga boleh berseronok di luar panggung kerana turut disediakan ruang aktiviti dan permainan selain sudut membaca untuk mereka.

GSC PlayPlus
Semua
Hiburan
Berita
Variasi