MP Umno cium tangan, minta maaf kepada Tun M - Video | mStar

MP Umno cium tangan, minta maaf kepada Tun M

AHLI Parlimen Kuala Krau, Datuk Seri Ismail Mohamed Said sempat mengusik Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamed mengenai senario beberapa wakil rakyat Barisan Nasional (BN) lompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menerusi pantun pembukaannya sebelum mengajukan soalan pertama pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, Ismail membangkitkan kebimbangan DAP mengenai isu berkenaan.

"Parti Perdana Menteri parti Bersatu, dah ramai wakil rakyat BN melompat Bersatu, niat PM nak kuatkan Bersatu, harap DAP jangan marahkan Bersatu.

"Soalan saya nombor satu. Mohon jawapan kepada soalan nombor satu," katanya pada Rabu.

Pantuan sindiran Ismail menerima sorakan wakil rakyat pembangkang.

Bagaimanapun Dr Mahathir yang juga Pengerusi Bersatu menyahut sindiran Ismail dengan 'kata-kata pedas' yang dilihat merujuk kepada kerjasama Umno dan PAS.

"Terima kasihlah kerana sokongan kepada parti Bersatu. Tapi ada orang yang tiru nak bersatu dengan musuh mereka, yang 'mengkafirkan' mereka.

"Mereka sekarang ini bekerjasama, jadi tak taulah sama ada kafir ataupun tidak," katanya.

Susulan itu ketika Dr Mahathir mengadakan sidang media di lobi Parlimen, Ismail secara tiba-tiba muncul meminta maaf dan mencium tangan ahli politik veteran berkenaan.

"Terima kasih atas jawapan tadi, minta maaf gurau pantun-pantun sikit tadi," katanya.

Dr Mahathir Mohamad , Umno
Semua
Hiburan
Berita
Variasi