Nabil elak terkait isu curang, ingat nasib anak-anak - Video | mStar

SEJAK menjadi selebriti, pelawak Nabil Ahmad mengakui pernah menerima pelbagai cubaan dan godaan daripada wanita yang ingin merosakkan perkahwinannya.

Bagaimanapun, Nabil, 35, berasakan tanggungjawab terhadap isteri iaitu Zira Ayub dan dua orang anak yang menjadi tulang belakang kejayaannya selama ini membuatkan dia menjauhkan diri daripada perkara tidak bermoral itu.

"Dah biasa ada mesej peribadi (DM) di Instagram yang ajak nakal-nakal, tapi bukan rakan artis, orang biasa sahaja. Saya dapat tahu tentang ini pun sebab telefon ada dengan isteri. Saya memang tak pakai Instagram.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri garang semacam, tak mungkin Nabil kahwin dua

ARTIKEL BERKAITAN: Sengaja menyanyi tak pakai 'auto tune', Nabil Ahmad nak jual suara sebenar

"Saya jaga benda ni semua, kalau saya bujang memang akan hanyut sebab tak ada tanggungjawab, tak ada hati yang perlu dijaga. Apabila dah kahwin dah ada anak kita dah sedar perkara itu dan kena ambil tahu.

"Nakal tu saya tak nafikan, lelaki biasalah... saya nakal dari segi perwatakan supaya tarik penonton bukan nakal perempuan. Rasa tak berbaloi keseronokkan lima minit, ajak keluar pergi kelab tapi masalah.... tak berbaloi," katanya kepada mStar Online.

Nabil ditemui semasa pelancaran lagu PENING yang diadakan di RedBox, The Garden, Kuala Lumpur pada Rabu.

Dalam majlis tersebut, pengacara program Meletop ini turut dilantik menjadi duta untuk jenama ubat Uphamol.

Sementara itu, Nabil berkata dia bersyukur dikurniakan seorang isteri yang penyabar dan memahami.

Malah, dia mengakui tidak boleh hidup tanpa isteri dan anak-anak.

"Syukur isteri mampu tahan perangai saya begini, iyelah kita manusia kadang-kadang ada buat silap dan tak perasan ada masa buatkan isteri tersinggung.

"Dia masih tahan dan itu membuatkan saya sangat menghargai pengorbanannya. Anak-anak juga menjadikan saya terus kuat untuk kekal jauhkan diri daripada aktiviti tidak bermoral," ujarnya.

Nabil dan Zira berkahwin pada 30 September 2011 dan dikurniakan dua cahaya mata perempuan bernama Naira Mikayla, 7, dan Leyla Medyna, 4 tahun.

Nabil Ahmad
Semua
Hiburan
Berita
Variasi