“Jangan 'membahan' orang atas pentas” - Azlee Senario tegur pelawak baru nak up - Video | mStar

KEMUNCULAN pelawak baharu menjadikan industri hiburan tanah air semakin meriah, namun bukan semua mampu mempersembahkan lawak berkualiti.

Ada juga yang hanya sekadar menyampaikan jenaka kosong untuk dijadikan bahan gelak ketika berada di atas pentas.

Justeru itu, pelawak senior Azlee daripada kumpulan Senario berpendapat mereka perlu memahami konsep lawak dan tidak menyinggung perasaan orang lain.

"Kebanyakan pelawak baharu memang hebat, mereka menjadi pelapis pelawak yang sedia ada. Cumanya, saya nak pesan kalau melawak janganlah sampai menyinggung perasaan orang lain.

"Kita buat lawak kena cekap menggunakan akal fikiran dan ada konsep berkaitan isu semasa. Jangan bahan orang atas pentas sebab ada orang suka tapi ada juga yang menyampah.

"Kalau boleh elak, elakkan... jaga tingkahlaku sebagai pelawak semasa di atas pentas dan di mana sahaja kita berada," katanya kepada mStar Online.

Azlee ditemui semasa Majlis Perasmian Al Waqar Travel Sdn. Bhd yang diadakan di Dewan MDKS Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor pada Ahad lalu.

Azlee bersama Pengarah Urusan Al Waqar Travel, Ustaz Umar Hafizi (berbaju kuning) di karnival yang dijalankan oleh agensi tersebut baru-baru ini.

Dalam program tersebut, dia turut dilantik menjadi ikon kepada agensi pengurusan umrah tersebut.

Sementara itu, Azlee berkata teguran serta nasihatnya itu bersifat terbuka dan tidak ditujukan kepada mana-mana individu.

"Saya tak mengata sesiapa tapi apabila keluar cerita-cerita kurang indah di laman sosial mengenai pelawak bergaduh sesama sendiri, tak eloklah.

"Jangan lukakan hati sesiapa dan melawaklah dengan mesej yang betul," ujarnya.

Temubual penuh bersama Azlee, tonton video yang disediakan mStar Online ini.

Azlee Senario
Semua
Hiburan
Berita
Variasi