LAMA meninggalkan bidang lakonan, presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seninam) Zed Zaidi bakal membuat comeback menerusi sebuah filem tidak lama lagi.
Demi menjayakan watak dalam filem genre aksi itu, Zed atau Rozaidi Jamil, 45, sedang gigih berusaha menurunkan berat badannya sebelum memasuki set penggambaran Mei ini.
Jelas Zed, wataknya nanti memerlukan dia melakukan transformasi memandangkan bakal melakukan banyak aksi lasak.
"Sebenarnya saya kurus ini disebabkan kerja untuk sebuah filem, jadi ini merupakan persediaan saya dan perlu mengubah karekter sedia ada.
"Watak saya lakonkan nanti sebagai tentera dan memerlukan badan ideal selain menjadi ikon kepada karakter askar yang lain," katanya kepada mStar.
Setakat ini kata Zed, dia sudah berjaya menurunkan lima kilogram berat badannya dalam tempoh sebulan.
Namun katanya, dia belum mencapai berat badan sasaran dan sedang giat bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat.
TONTON VIDEO TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI