Neelofa minta nasihat Tun M urus kewangan ketika PKP - “Kurangkan perbelanjaan, ketepikan perkara tak penting”

USAHAWAN selebriti terkenal Neelofa melalui sesi Instagram live bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui perniagaannya terkesan akibat penularan wabak Covid-19 yang melanda dunia pada ketika ini.

Sehubungan itu Neelofa, 31, mengambil peluang dengan mendapatkan nasihat bagi menghadapi situasi ini lebih-lebih lagi selepas kerajaan menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga 14 April depan.

“Apa yang perlu atau boleh kami lakukan dalam situasi sekarang ini dan juga selepas tamat tempoh PKP?” soal Neelofa kepada Dr Mahathir.

Figura berusia 95 tahun itu dengan tenang menjelaskan hampir semua perniagaan masih boleh diteruskan di rumah secara dalam talian selari dengan perkembangan teknologi.

Dr Mahathir juga menyeru agar para peniaga memanfaatkan kemudahan telekomunikasi dalam memastikan kelangsungan perniagaan biarpun negara diserang virus Covid-19.

“Hampir semua perniagaan boleh beroperasi di rumah terutamanya zaman sekarang ini di mana teknologi komunikasi sangat baik sehingga kita boleh berurus niaga secara dalam talian. Tak perlu bergerak dan keluar rumah, nanti ada orang (perkhidmatan penghantaran) ambil barang di rumah dan hantar kepada pembeli.

“Biarpun kurang selesa bekerja di rumah, namun mengapa pula kita perlu katakan tidak terhadap cara bekerja sebegini di waktu getir sekarang,” ujar beliau.

Sesi Instagram live tersebut mendapat hampir 15 ribu tontonan.

Sebelum ini Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor turut melakukan aktiviti sama bersama penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza pada petang Selasa.

neelofa, tun m
Semua
Hiburan
Berita
Variasi