suria

Aliff Syukri hormat Ahmad Idham, sedia bersemuka bincang isu parkir... “Premis kami cuma 10 langkah”

USAHAWAN sensasi, Datuk Seri Aliff Syukri memilih untuk tidak memanjangkan isu melibatkan pengarah dan penerbit, Dr. Ahmad Idham yang membangkitkan isu kesesakan lalu lintas di Kota Damansara, Petaling, baru-baru ini.

Aliff atau Aliff Syukri Kamarzaman, 39, yang memiliki premis perniagaan, iaitu Wisma D'Herbs di lokasi dibangkitkan tidak mahu mengulas perkara itu secara berlebihan dan menghormati Idham yang dianggap lebih berusia daripadanya.

Dalam masa sama, Aliff memaklumkan dia terbuka sekiranya Ahmad Idham ingin bertemu dengannya bagi membincangkan isu berkenaan secara baik.

“Saya tidak mahu memberi komen berlebihan dan sebagai individu yang lebih tua, saya menghormatinya.

“Malah saya juga terbuka sekiranya selepas ini kami mahu berjumpa dan berbincang bersama. Premis kami pun jaraknya hanya sekitar 10 langkah sahaja.

“Memang saya tiada sebarang masalah dan mungkin perkara ini berlaku akibat provokasi sehingga tercetusnya isu berkenaan,” katanya kepada mStar.

Sebelum ini, Ahmad Idham dilaporkan meluahkan rasa kurang senang terhadap sikap segelintir individu yang meletakkan kenderaan secara ‘double park’ berhampiran premis perniagaannya di Kota Damansara, berdekatan Wisma D’Herbs.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu menyebabkan kesesakan lalu lintas di kawasan berkenaan sehingga menimbulkan keresahan, lebih-lebih lagi apabila sekolah pendidikan khas miliknya yang terletak di lokasi sama turut terjejas akibat masalah trafik.

Bagaimanapun, Ahmad Idham kemudian tampil memohon maaf dan menjelaskan hantaran tersebut dibuat sebagai luahan kecewa terhadap sikap segelintir pengguna jalan raya, bukan ditujukan kepada mana-mana individu tertentu.

Dalam perkembangan lain, Aliff akan menerbitkan sebuah filem pendek yang diinspirasikan daripada kisah benar kehidupannya berjudul Ya, Abah Saya Sekuriti.

Karya tersebut dijadualkan dilancarkan pada 12 Mac ini di semua platform.

TONTON VIDEO PENUH TEMU BUAL DISEDIAKAN MSTAR INI



Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi