suria

Ariff Bahran tetap lancar single baharu walaupun tersingkir daripada Big Stage

PENYANYI muda Ariff Bahran menjelaskan dia tetap akan melancarkan single terbaharunya biarpun tersingkir di peringkat separuh akhir program Big Stage yang berlangsung pada Ahad.

Ariff atau nama sebenarnya Muhammad Ariff Bahran Ahmad Azhari gagal ke peringkat akhir program tersebut selepas mendapat markah kedua tercorot daripada juri profesional.

“Walaupun rezeki saya cuma sampai ke peringkat separuh akhir, ia tetap pencapaian yang besar buat karier seni saya.

“Saya tetap bersyukur dapat mengharungi tujuh minggu bersama rakan-rakan seperjuangan, lebih menggembirakan lagu terbaru saya iaitu Juara Dusta tetap akan dilancarkan minggu hadapan meskipun saya tidak berpeluang menyanyikannya di pentas akhir Big Stage,” katanya kepada mStar Online.


Ariff Bahran saat diumumkan tersingkir daripada Big Stage

Penyanyi yang terkenal dengan lagu Kata Akhirmu ini mendapat markah sebanyak 84.08 peratus daripada juri profesional yang terdiri daripada Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Faizal Tahir serta juri jemputan dari Indonesia iaitu Tulus.

Dalam pada itu, Ariff, 20, juga berkata dia sedar undian melalui aplikasi Tik Tok mula merosot menjelang minggu ketujuh program tersebut.

“Saya sedar undian makin merosot kerana kelab peminat pesaing lain semakin kuat saban minggu.

“Tambahan pula saya masih baru didalam industri berbanding peserta lain yang sudah mempunyai 'fan base' yang kuat, namun saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada peminat yang tidak jemu mengundi saya melalui aplikasi tersebut,” tambah Ariff.

ariff bahran, big stage


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi