suria

Memang puas hati! Aksi dalam filem nampak lebih realistik dengan ScreenX

MACAM-MACAM teknologi diperkenalkan untuk memberi kepuasan maksima kepada penonton tatkala menonton wayang di pawagam.

Namun pernah tak anda terfikir untuk menonton filem dengan sudut pandang yang lebih luas dan lebar tanpa menjejaskan fokus pada skrin utama di hadapan?

Kini ia tidak mustahil selepas Golden Screen Cinemas Sdn Bhd (GSC) memperkenalkan ScreenX yang menampilkan penambahan skrin sisi di kiri dan kanan pawagam.

Memang puas hati apabila anda dapat menonton filem dengan sudut pandang 270 darjah.

Bayangkan anda seakan-akan sedang berada di dalam kereta semasa adegan kejar-mengejar dan pandangan sisi kelihatan realistik apabila jelas kelihatan kedudukan pintu kereta. Memang luar biasa!

Mungkin anda tertanya-tanya, tak pening ke nak menonton wayang dengan tiga skrin serentak?

Jangan bimbang kerana bukan keseluruhan filem akan dipancarkan di ketiga-tiga skrin.

Penonton bakal menikmati kepuasan berbeza menonton wayang dengan skrin 270 darjah.

Ia digunakan mengikut kesesuaian khususnya apabila ada babak panorama sahaja, jadi fokus utama tetap pada skrin hadapan.

Salah seorang penonton yang ditemui berkata dia dapat merasai satu pengalaman luar jangkaan ketika menonton filem IT Chapter Two melalui ScreenX.

"Pengalaman kali ini sangat lain daripada kebiasaannya. Ketika adegan memandu kereta, saya rasa seolah-olah sedang memandu kenderaan tersebut. 

"Secara peribadi jalan cerita filem yang saya tonton juga menjadi lebih menarik dan realistik," kata Sufian Osman.

Sementara itu seorang lagi kaki wayang iaitu Mohamad Hazib turut berpuas hati dengan teknologi ScreenX.

Antara babak menarik dalam filem It Chapter Two yang menggunakan teknologi ScreenX.

Katanya, pemilihan babak yang sesuai memberi impak besar kepadanya sebagai penonton.

"Adegan yang dipilih untuk ditayangkan pada skrin 270 darjah pula sentiasa yang terbaik.

"Ia memberi impak seolah-olah anda berada dalam filem itu," kata Hazib.

ScreenX ini kini boleh dinikmati oleh semua pengunjung yang datang ke GSC One Utama dengan harga tiket sebanyak RM29 seorang.

Selain skrin panorama 270 darjah, kerusi jenis eco–leather yang lebih selesa berbanding di panggung biasa juga memberi lebih keselesaan kepada penonton yang memilih ScreenX.

gsc, screenx


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi