suria

"Umur macam ni main lagu nasyid lagi seronok" - Yazid (Search)

PEMAIN dram kumpulan Search Yazid Ahmad berkata dia masih aktif dalam bidang muzik namun memilih untuk mendekatkan diri dengan lagu-lagu dakwah.

Menurut Yazid, 56, genre muzik berkenaan dirasakan dapat memberi lebih ketenangan sesuai dengan usianya.

"Saya sekarang buskers dengan kumpulan nasyid As Salam, maknanya muzik tu saya alihkan sedikit daripada rock kepada sesuatu yang lebih tenang.

"Peringkat umur begini kalau main lagu-lagu nasyid saya rasa tak salah... lagi seronok dekatkan diri dengan lagu-lagu dakwah," katanya kepada mStar Online.

Yazid ditemui pada sidang media program pencarian bakat baru #WhenMusicSpeaks yang diadakan di Neway Karaoke Box, One Utama pada Khamis.

Dalam pada itu Yazid menolak dakwaan bahawa penglibatannya bersama kumpulan nasyid tersebut adalah kerana wang semata-mata berikutan keadaan kesihatannya semakin merosot sejak beberapa tahun dahulu.

“Kalau diikutkan berapa sangat hasil yang saya dapat daripada persembahan dengan kumpulan nasyid ini.

“Tetapi saya mahukan suasana dimana sesuatu persembahan itu bertemakan ketuhanan, bila kita bercampur dengan orang-orang berilmu maka kami sentiasa becerita tentang agama,” tambah Yazid.

yazid search


Video Selebihnya

Semua
Hiburan
Berita
Variasi