suria

Gemuk, kurus dan kini sado! Lelaki buat transformasi ‘Bang Jago’ dedah kisah isteri menangis ketika urut kakinya

Faisal melakukan transformasi dari obes ke kurus hingga kini menjadi sado.

KEBIASAANNYA kita melihat ramai yang berbadan gemuk atau obes berlumba-lumba mahu menguruskan badan menggunakan pelbagai cara.

Sebaliknya, seorang pemuda yang dahulunya berbadan gemuk kini berpenampilan sasa atau sado, bentuk badan yang menjadi idaman kebanyakan lelaki yang bersenam di gim.

Transformasi luar biasa itu dikongsikan oleh pemuda tersebut menerusi video yang dimuat naiknya di aplikasi TikTok sehingga menjadi tular.

ARTIKEL BERKAITAN: Dulu pemuda saiz 4XL tutup telinga disuruh kawal makan, semuanya berubah selepas bapa tiada - "Ayah hanya mampu pegang perut, isyarat minta saya kurang berat badan"

ARTIKEL BERKAITAN: Kurus sampai digelar penagih, lagi parah ditinggalkan kekasih... lihatlah abang sekarang dah sado!

Pemuda berkenaan, Muhamad Faisal Othman memberitahu, badannya paling berat ketika obes adalah 139 kilogram (kg) pada 2018.



Faisal ketika mempunyai berat badan berlebihan.

Namun dia sebenarnya melalui fasa kegemukan selama kira-kira 15 tahun dan faktor obesiti dan menghidap darah tinggi membuatkan dirinya mahu melakukan perubahan.

"Saya ambil masa dua tahun untuk kuruskan badan dengan melakukan senaman seperti berlari dan joging serta mengawal pemakanan sehingga berat badan turun kepada 72kg.

"Tapi masa tu, kawan-kawan saya kata saya nampak kurus macam orang sakit, ada yang ingatkan saya hisap dadah. Malah, ada yang sangka saya berbadan kurus sangat sebab kena buatan orang," kata pemuda berusia 36 tahun itu kepada mStar.



Faisal melakukan senaman seperti berlari dan joging.

Lebih mesra disapa Faisal, katanya, perubahan berat badannya yang begitu drastik pada akhir 2019 turut disedari oleh isterinya sambil berkongsi satu kisah yang menyayat hati.

"Suatu hari kaki saya rasa lenguh dan saya minta isteri tolong urutkan. Tapi bila isteri urut betis saya macam pegang kayu, isteri menitik air mata.

"Saya terkejut tengok dia menangis. Walaupun dia terima saya seadanya, tapi apa yang lebih penting bagi dia adalah saya mengutamakan kesihatan," ujarnya yang mendirikan rumah tangga sejak 2007.



Isteri Faisal (kiri) memberi sokongan untuk melakukan transformasi.

Menurut bapa tiga anak itu, dia meneruskan tranformasinya dari kurus untuk berbadan fit dengan melakukan senaman angkat berat di gim pada awal 2020.

"Mula-mula masuk gim. Bila gim ditutup sementara kerana PKP (Perintah Kawalan Pergerakan), saya beli peralatan basic dan buat gim di rumah.

Saya terkejut tengok dia menangis. Walaupun dia terima saya seadanya, tapi apa yang lebih penting bagi dia adalah saya mengutamakan kesihatan.

MUHAMAD FAISAL OTHMAN

"Dalam tempoh setahun, berat badan saya dari 72kg dah bertambah kepada 85kg. Dari gemuk kepada kurus, dan sekarang nampaklah ada urat dan ketul-ketul," tambahnya.

Perubahan yang lebih baik itu ternyata menggembirakan isteri Faisal yang banyak memberikan sokongan moral termasuk membantunya dari penyediaan makanan yang sihat.



Penampilan terbaharu Faisal selepas bersenam di gim.

"Kalau dulu masa gemuk, orang panggil saya Bob atau Hulk (watak adiwira). Bila dah ada otot ni, kawan-kawan panggil saya dengan macam-macam nama seperti abang sado, abang ketak, abang urat... yang panggil saya Bang Jago pun ada," ujarnya secara berseloroh.

Mengakui bukan mudah untuk melakukan transformasi gemuk-kurus-sado, eksekutif operasi di sebuah pusat logistik itu tetap mempunyai cara tersendiri.



Faisal (kiri) dan isteri mendirikan rumah tangga sejak 2007.

"Buat perubahan kena ikut kemampuan diri sebab kita tahu badan kita macam mana. Jangan kita kejar nak ikut orang lain, nanti badan jatuh sakit. Lain orang lain antibodi.

"Macam saya, memang tak sentuh sebutir nasi selama dua tahun tu yang jadi kurus, tak ambil makanan berminyak dan kurangkan pengambilan gula.

"Nak tambahkan berat badan kepada yang lebih ideal, saya banyakkan pemakanan yang mengandungi protein. Lain orang lain caranya," kata Faisal.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Berkaitan

Artikel Lain