suria

Dulu pemuda saiz 4XL tutup telinga disuruh kawal makan, semuanya berubah selepas bapa tiada - “Ayah hanya mampu pegang perut, isyarat minta saya kurang berat badan”

Daniel melakukan transfromasi untuk mengurangkan berat badan selepas bapa meninggal dunia akibat kanser otak tahap empat.

WALAUPUN menyedari berat badannya berlebihan, seorang remaja lelaki tidak pernah peduli apatah lagi melakukan perubahan menerusi amalan gaya hidup sihat.

"Aku memang gemuk tapi aku tak sedar diri," luahnya menerusi video di laman TikTok.

Namun, pendiriannya itu berubah sama sekali selepas pemergian bapa kesayangan pada Mac tahun lalu dengan melakukan transformasi untuk mengurangkan berat badan.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Dilema' doktor gigi... tak selesa, kurang yakin berdepan pesakit gara-gara badan sendiri - "Sudahlah besar, cepat berpeluh"

ARTIKEL BERKAITAN: Guru makin kacak lepas turun 65kg, masa gemuk berkali kerusi patah - "Bila buang air, tangan tak sampai nak cuci"

Remaja berkenaan, Daniel Mohamad Ajmal mengakui sikapnya yang tidak mengawal pemakanan dan malas bersenam membuatkan berat badannya mencecah 126 kilogram (kg).



Daniel mengambil berat terhadap arwah bapa.

Anak muda berusia 17 tahun itu berkata, antara individu yang sering menegurnya adalah arwah bapanya yang meninggal dunia pada usia 53 tahun akibat kanser otak tahap empat.

"Saya dari kecil lagi memang dah gemuk sebab suka makan tak berhenti. Masa saya darjah tiga ayah didiagnosis kanser otak tahap empat pada 2013.

"Pada tahun yang sama juga bermulanya ayah menasihatkan saya untuk kuruskan badan demi kesihatan, berkali-kali sehingga ayah meninggal dunia tahun lalu," katanya kepada mStar.



Bersenam di gim antara gaya hidup sihat yang diamalkan Daniel.

Lebih mesra disapa Daniel, katanya, sebagai satu-satunya anak lelaki dalam keluarga, dia bertanggungjawab untuk menjaga bapanya yang menghidap penyakit itu.

"Saya banyak meluangkan masa bersama ayah, uruskan dia. Mula-mula ayah masih boleh bercakap, jadi dia tegur dan marah saya sebab gemuk, tak jaga kesihatan.

"Tiga kali ayah jalani pembedahan dan selepas pembedahan terakhir pada 2016, ayah dah tak boleh bercakap. Ayah hanya mampu gerakkan tangan pegang perut saya beri isyarat untuk saya kurangkan berat badan," ujarnya yang merupakan anak bongsu daripada tiga beradik itu.



Transformasi Daniel mengurangkan berat badan dari 126kg kepada 70kg.

Menurut pelajar Tingkatan Lima itu, selain sikapnya yang degil tidak mendengar nasihat, masanya banyak dihabiskan dengan pelajaran dan menjaga arwah bapanya.

"Memang saya tak ada masa bersenam, tapi saya tetap degil dengan makan macam-macam. Sampaikan saya tutup telinga, saja nak memberontak.

"Tapi bila ayah meninggal dunia, saya yang paling sedih sebab kehilangan orang yang saya rapat dan sayang, dan sebab tak dengar nasihat ayah semasa hayatnya," katanya.

Sejak pemergian bapanya, Daniel yang berasal dari Kuala Lumpur berazam untuk mengurangkan berat badan dengan mengamalkan gaya hidup sihat.



Daniel berpeluang memakai baju milik arwah bapa selepas menurunkan berat badan.

"Mak daftarkan saya ke gim. Tapi saya hanya sempat bersenam hari pertama di gim pada 17 Mac sebelum PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dikuat kuasakan di seluruh negara esoknya (18 Mac) akibat pandemik Covid-19.

"Gim kena tutup sepanjang PKP. Masa tu saya frust sangat sebab baru ada semangat nak kuruskan badan, memang rasa down," katanya.

Bila ayah meninggal dunia, saya yang paling sedih sebab kehilangan orang yang saya rapat dan sayang, dan sebab tak dengar nasihat ayah semasa hayatnya

DANIEL MOHAMAD AJMAL

Namun pelajar yang mengikuti Pendidikan Asas Vokasional (PAV) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Setiawangsa di Kuala Lumpur tetap mengingati pesanan arwah bapanya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

"Paling terkesan adalah saya simpan baju-baju arwah ayah tapi frust sebab tak muat pakai sebab ketika itu saya bersaiz 4XL sedangkan ayah saiz L. Saya memang berharap sangat untuk pakai baju arwah ayah," tambahnya.



Kenangan... Daniel (hadapan) bersama arwah bapa (belakang, dua dari kanan) dan keluarga.

Daniel kemudian kembali bersenam selepas gim dibuka semula dengan bimbingan jurulatih pada Jun tahun lalu, serta melakukan aktiviti lain seperti joging, renang dan berbasikal.

"Selain bersenam, saya juga kawal pemakanan. Dalam tempoh lapan bulan sejak Jun tahun lalu, saya berjaya mengurangkan berat badan dari 126kg kepada 70kg.

"Syukur, usaha keras saya berhasil. Saya gembira sebab boleh pakai baju arwah ayah dan walaupun size saya kini M, saya tetap dapat pakai baju dia... bila muat pakai baju arwah ayah, rindu terubat," katanya yang mahu mengikuti jejak langkah arwah bapanya sebagai arkitek.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain