suria

Isteri terharu tapi musykil suami buat kejutan sebelum keluar rumah, tulis nota di kotak ubat nyamuk! Lebih pelik 2 kali beri duit belanja

(gambar kiri, tengah) Tangkapan skrin video TikTok mengenai kejutan suami Shazwani. (gambar kanan) Shazwani (kanan) bersama suami.

SEORANG isteri terpinga-pinga pada suatu pagi apabila menerima sekeping nota tulisan tangan suami yang ditulis pada kotak ubat nyamuk.

Menerusi rakaman video di laman TikTok, tertera mesej ringkas si suami yang memaklumkan dia mengambil wang berjumlah RM5 di dalam beg tangan isterinya sebelum keluar rumah untuk pergi ke hutan.

Selain meninggalkan bungkusan nasi untuk sarapan, wanita itu juga diminta untuk memeriksa satu bekas yang ditinggalkan suaminya dalam sebuah bakul, dan terkejut apabila mendapati terdapat beberapa keping wang kertas RM50 di dalamnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Suami dapat 'baca' taktik isteri asyik nak pinjam duit, sengaja biarkan dompet duit berkepuk - "RM200 macam dapat RM200,000"

ARTIKEL BERKAITAN: Masuk bilik, isteri senyap je... rupa-rupanya fikirkan burger dalam hati, suami terus keluar cari sampai tengah malam - "Bukan pelik tapi unik"

Wanita berkenaan, Shazwani Mohd Shariman berkata rakaman kejadian itu dibuat pada hari suaminya keluar untuk memikat burung di hutan.



Nota yang ditinggalkan suami Shazwani.

Wanita berusia 25 tahun itu memberitahu, dia terkejut kerana suaminya tidak pernah berahsia sejak mengenali antara satu sama lain selama lebih 10 tahun.

"Suami saya ni seorang yang berterus-terang, maksudnya tidak suka berahsia apatah lagi mahu membuat kejutan. Suami bukan lelaki romantik yang suka buat kejutan-kejutan ni.

"Biasanya bila dapat gaji, suami akan serahkan duit pada saya untuk disimpan buat kegunaan keluarga. Kalau RM1 dia ambil pun dia akan beritahu saya, dan hari tu dia keluar awal pagi sebelum saya bangun, jadi suami tulis nota di kotak ubat nyamuk saja," katanya kepada mStar.



Suami Shazwani masuk ke hutan untuk memikat burung.

Shazwani yang mendirikan rumah tangga sejak lapan tahun lalu berkata, suaminya yang bekerja sebagai tukang rumah menerima upah setiap minggu.

"Suami biasanya dapat upah buat rumah setiap Khamis, dan duit tu dia dah beri pada saya untuk simpan. Tapi esoknya dia buat kejutan bagi duit tu, jadi memang peliklah.

"Hobi dia memang suka tahan (pikat) burung. Bila masuk hutan, telefon pula ditinggalkan, jadi kena tunggu suami balik rumah dulu," ujarnya yang berasal dari Kerteh, Terengganu.

Menurut ibu kepada tiga cahaya mata itu, suaminya yang keluar rumah sejak awal pagi hanya pulang ke rumah pada waktu tengah hari.



Shazwani (kanan) menyifatkan suaminya sebagai penyayang.

"Dalam bekas tu suami tinggalkan wang sebanyak RM300, bagi saya cukup banyak duit tu. Memang musykil duit tu dari mana, tapi saya anggap itu rezeki dia.

"Bila saya tanya pasal duit tu, suami maklumkan untuk rezeki saya dan anak-anak. Syukur Alhamdulillah," tambahnya.

Bila saya tanya pasal duit tu, suami maklumkan untuk rezeki saya dan anak-anak. Syukur Alhamdulillah.

SHAZWANI MOHD SHARIMAN

Walau bagaimanapun, Shazwani yang merupakan suri rumah dan terlibat dalam bisnes dalam talian berasa gembira dengan kejutan suami yang tidak disangka-sangka itu.

"Bayangkanlah kalau hari jadi saya atau anniversary (ulang tahun perkahwinan), memang suami tak buat kejutan pun. Kalau ada kek, hadiah... suami akan terus bagi.

"Bila dapat kejutan tiba-tiba tu, memang gembira sangatlah," katanya sambil menyifatkan suaminya seorang yang jujur, penyayang dan mengambil berat terhadap keluarga.



Shazwani (kiri) dan suami (dua, kiri) bersama anak-anak.

Dalam pada itu, Shazwani tampil menjelaskan tanggapan segelintir netizen yang melabelkannya sebagai pemalas sehingga suami membeli sarapan di luar.

"Sebenarnya suami memang suka beli makanan di luar untuk sarapan dan waktu tengah hari. Suami minta saya masak untuk hidangan petang dan malam kerana dia keluar bekerja dari pagi.

"Lagipun anak-anak kami masih kecil, masing-masing berusia tujuh, enam dan empat bulan. Jadi, untuk anak-anak saya sediakan makanan yang bersesuaian dengan usia mereka.

"Saya tak pasti kenapa mereka nak kecam saya macam tu, sedangkan mereka tidak berada di tempat saya. Cukuplah saya katakan suami seorang yang penyayang," katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain