suria

Pengusaha spa jiwa kental! Umur 12 tahun dah tunggang motor, tak serik 2 kali kemalangan... kini bangga ada 4 motosikal!

Dedah Tita, minatnya itu terhenti seketika apabila dia mengalami kemalangan pada usia 19 tahun.

APABILA berbicara mengenai hobi permotoran, ia tentunya cukup sinonim dengan kaum lelaki.

Namun, seorang pengusaha spa yang mahu dikenali sebagai Tita, 28, membuktikan sebaliknya dan menganggap hobi itu tiada kaitan dengan jantina.

Menurut wanita yang menetap di Shah Alam, Selangor itu, dia yang memiliki empat buah motosikal percaya bahawa wanita juga boleh berkecimpung dalam hobi sama.

ARTIKEL BERKAITAN: 10 tahun suami tak makan pujuk, tiba-tiba jadi sporting habis! Ibu 2 anak terkejut dapat restu tunggang superbike

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak sayang martabat wanita ke?” - Pelumba BMX bertudung kalis kecaman, sokongan bertambah selepas buat video TikTok

"Saya minat motor sejak kecil lagi. Semua adik-beradik saya lelaki, memang lasak dari dulu lagi. Takkan nak ajak mereka main masak-masak?

"Saya pertama kali bawa motor pada usia 12 tahun. Kereta pun sama, saya masih ingat, saya pandu kereta Perodua Kancil manual.

"Saya bawa senyap-senyap tanpa pengetahuan ayah. Saya belajar pun dengan melihat rentak kaki masa dia bawa kereta," ujarnya kepada mStar.

Tita bersama salah sebuah motosikal miliknya.

Kata Tita, dia pertama kali memiliki motosikal sendiri sewaktu di sekolah menengah.

Namun, minatnya itu terhenti seketika apabila dia mengalami kemalangan pada usia 19 tahun.

"Pernah kemalangan dua kali. Masa umur 19, saya patah sebelah kaki. Sejak itu, memang ayah tak bagi.

Ada juga yang kata saya berlagak dan cakap nak menunjuk.

TITA

"Trauma juga, lebih empat tahun saya tak sentuh motor," imbasnya lagi.

Menurut Tita, dia yang aktif berkongsi hobinya di media sosial termasuklah menerusi TikTok tidak terlepas menerima kecaman.

Namun katanya, dia sekadar mahu berkongsi kisah hidupnya dan cuba membuktikan kata-kata orang yang sering memandang rendah pada kemampuan kaum hawa.

Dedah Tita, dia satu-satunya anak perempuan dalam keluarga.

"Saya suka motor sebab selalu tengok perempuan luar negara naik motor besar. Saya pun nak buat kat Malaysia, tak sangka kat sini kena kecam.

"Ada orang kata perempuan tak boleh main motor. Terlalu banyak kecaman. Jadi saya nak buktikan, bukan lelaki je boleh lasak.

"Walaupun saya kecil, nak naik kena berjengkit, tak berapa sampai nak pegang motor, tapi kita pun mampu lakukannya.

Tita mula belajar mengendalikan motosikal sejak berusia 12 tahun.

"Saya tak terasa hati. Ada juga yang kata saya berlagak dan cakap nak menunjuk. Saya bukan menunjuk, tapi ia hasil kerja saya, dapatlah beli motor," ujarnya lagi.

Kata Tita, jika ada mana-mana wanita yang mahu menceburi sukan permotoran, niat mereka juga harus diperbetulkan.

"Ada yang teringin nak main motor kerana nak popular, pesan saya, janganlah.

"Kena perbetulkan niat," ujar anak ketiga daripada lima beradik itu.

Untuk rekod, dia kini memiliki empat motosikal keluaran Yamaha iaitu R1, R25, Y15, 125ZR.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain