suria

Perkahwinan dipercepatkan, pengantin idam pakai baju saiz XS berjaya turun 11kg dalam 3 bulan - “Suami sedih, dia rasa saya gigih”

Wani gigih turunkan berat badan sehingga 11kg untuk nampak cantik ketika menggayakan busana di hari bahagia

BAKAL pengantin perempuan sering berdepan masalah menjelang hari perkahwinan kerana ingin kelihatan langsing menggayakan busana yang diidamkan saat berada di pelamin.

Begitu jugalah kisah wanita ini yang mampu mengurangkan berat badan sebanyak 11 kilogram (kg) selepas tiga bulan berusaha gigih mendapatkan bentuk badan idaman demi pada hari perkahwinannya.

Menerusi video transformasi yang dimuat naik di TikTok, Nurul Shazzwani Mustafa berkongsi transformasi dirinya yang berlaku dalam masa singkat, sebaik sahaja mendapat tahu perkahwinannya akan dipercepatkan.

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri obesiti berjaya turun berat badan kepada 2 digit, dulu beratus kilogram - “Faham kesusahan orang berbadan besar”

ARTIKEL BERKAITAN: “Dari kecil tak pernah rasa kurus” — Gadis turun hampir 18kg selepas buat 9 perkara, produk perlansingan hanya tambah stres

“Terima kasih terima saya seadanya, ” tulisnya di kapsyen video TikTok yang tular.

Mengimbas mengenai detik awal transformasi dirinya sekitar tiga tahun lalu, Nurul Shazzwani berkata dia sangat terkejut apabila pada satu hari teman lelakinya memberitahu mahu melangsungkan perkahwinan mereka pada hujung 2018, setahun lebih awal dari rancangan asal.

Menurut wanita berusia 27 tahun ini, walaupun pada masa itu ramai menganggap dirinya yang mempunyai berat 54kg 'tidak gemuk', malah mempunyai berat badan ideal, tetapi dia secara peribadi berasa kurang yakin serta mengidamkan bentuk tubuh yang lebih langsing untuk kelihatan cantik ketika bergelar raja sehari.

Foto sebelum dan selepas transformasi.

"Saya masa tu masih belajar tak terfikir pun nak turunkan berat apatah lagi saya memang kuat makan dan tak kisah sangat kalau berat badan naik setakat 4 atau 5kg.

"Tiba-tiba suatu hari, teman lelaki ajak jumpa lepas lama tak jumpa sebab kami belajar di universiti berlainan, dia di Pahang saya pula di Shah Alam... ketika itulah dia ajak kahwin awal.

"Masa tu berat saya 54kg, rasa tak selesa nak jumpa. Saya pun terus hantar gambar supaya dia tak terkejut jumpa nanti, sebab kali terakhir jumpa berat saya kurang dari tu," katanya ketika dihubungi.

Suami memang tak kisah. Dia tak pernah sentuh soal bentuk badan saya, cuma perempuan biasalah over sikit.

WANI

Bercerita lanjut, dia yang lebih mesra disapa Wani mengakui mempunyai perasaan bercampur baur apabila teman lelaki yang kini sah bergelar suaminya, Shafiq Nordin, 27 mengajaknya untuk mempercepatkan majlis kahwin.

Pasangan ini berkenalan 10 tahun yang lalu dan sejak tahun 2016 mereka aktif melakukan perniagaan produk kesihatan dan kecantikan secara online.

"Sejujurnya gembira tapi masa yang sama saya fikir buruknya kalau saya pakai baju kahwin nanti sebab berat dah naik.

"Walaupun berat saya masa tu masih normal (bukan obesiti), baju saya tetap saiz M, bila bergambar saya tetap nampak berisi.

"Dari situlah saya nekad nak turunkan berat badan biarpun orang lain rasa saya ni taklah gemuk mana... saya tetap nak pakai baju saiz S atau XS saja," katanya yang mempunyai ketinggian 154cm.

Video Wani yang tular di aplikasi TikTok.

Berasal dari Selangor, Wani berkata tiga bulan menjelang hari perkahwinan, dia gigih mengamalkan diet kalori dan masa yang sama mengambil produk yang tidak membahayakan kesihatan.

Tambah Wani lagi, dia tidak tahu bagaimana untuk menggambarkan reaksi suaminya apabila melihat perubahan dirinya pada hari yang penuh makna itu.

"Apa yang saya boleh katakan dia terkejut sangat. Seolah tak percaya perubahan ketara pada diri saya.

"Pada masa yang sama dia sedih sebab rasa saya gigih berusaha nak bentuk badan idaman.

"Suami memang tak kisah. Dia tak pernah sentuh soal bentuk badan saya, cuma perempuan biasalah over sikit, ” ujarnya lagi.

Berat Wani pernah mencecah 65kg ketika sedang hamil anak pertama.

Wani yang kini telah dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hana Inara berusia satu tahun bagaimanapun berkata, beratnya naik kepada 65kg ketika mengandungkan puterinya itu.

"Paling berat 65kg dan sekarang saya kekal dengan berat 46kg.

"Masa kahwin tu berat saya cuma 43kg saja. Kiranya target nak pakai baju S atau XS masa kahwin akhirnya berjaya juga,” jelasnya.

Sementara itu, wanita ini berkata bentuk badan adalah sesuatu yang subjektif bagi kebanyakan wanita.

Pada pandangannya, setiap wanita pasti mempunyai bentuk tubuh idaman walaupun perkiraan Body Mass Index (BMI) menunjukkan mereka mempunyai berat badan normal.

"Masing-masing ada citarasa sendiri. Biarpun orang cakap saya tak gemuk tetapi saya sendiri yang rasa kurang keyakinan diri tu,” katanya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my atau whatsapp di https://wa.link/kb469p

Artikel Berkaitan

Artikel Lain