suria

Dugaan! Calon SPM terkejut balik rumah, satu keluarga kena kuarantin - “Agak tertekan, saya perlu fokus sepenuhnya”

(kiri) Muhib, calon SPM dikejutkan dengan berita keluarganya menjalani kuarantin. (kanan) Gelang merah jambu yang dipakai oleh ahli keluarganya.

SEORANG calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencuri perhatian ramai selepas memuat naik tweet foto kesemua ahli keluarganya memakai gelang berwarna merah jambu pada Sabtu.

Kisah tersebut mengundang simpati kerana pada masa itu hanya tinggal dua hari saja lagi untuk pelajar berkenaan menduduki peperiksaan besar yang sudah lama ditunggu-tunggu.

Menurut Muhibullah Hasabdullah, 18, dia mendapat tahu mengenai perkara itu selepas pulang dari menghadiri kelas online dan belajar secara berkumpulan dengan rakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Dipulau selepas disahkan positif Covid-19, bapa 2 anak kesal kontak rapat cuba 'lari' kerana swab test... siap suruh bohong - "Tolong jangan marah, maki hamun"

ARTIKEL BERKAITAN: 2 tahun tak jumpa, kini anak dah depan mata, ibu pasrah gelang pink jadi penghalang pertemuan - "Kalau tak ada dua perkara ni, susahlah"

"Ya Allah, dugaan apakah ini. Lagi sehari sahaja SPM, tiba-tiba balik kelas tengok satu famili kena jalani kuarantin," tulisnya di akaun Twitter.



Perkongsian Muhib di laman Twitter mendapat perhatian ramai.

Bercerita kepada mStar, dia yang mesra disapa Muhib berkata sebaik tiba di rumah dia amat terkejut dimaklumkan oleh ibunya bahawa bapa dan neneknya perlu dikuarantin selepas melakukan swab test percuma di kawasan perumahan mereka.

"Saya balik tengok ayah dan nenek dah pakai gelang pink selepas buat swab test.

"Sampai hari ini keputusan belum keluar. Mereka tak ada simptom cuma digalakkan buat swab test sebab taman sebelah ada kluster baharu, dengar kata taman saya pun ada seorang yang positif Covid-19," katanya yang menetap di Taman Jaya 3, Temerloh, Pahang.

Sebagai langkah berja-jaga, ibu, abang dan adiknya pula pergi melakukan swab test keesokan harinya (Ahad) dan perlu menjalani kuarantin sama seperti bapa dan neneknya.

Bagaimanapun Muhib dikecualikan kerana bakal menduduki peperiksaan pada Isnin.



Muhib merupakan antara calon yang menduduki SPM. (gambar hiasan)

"Hanya saya saja dalam keluarga dikecualikan sementara waktu tapi jika ada ahli keluarga saya yang positif saya perlu jalani swab test tu secepat mungkin.

"Sekarang ini perasaan tak tahu nak cakap macam mana. Apa yang boleh dikatakan saya agak tertekan jadi macam ni saat saya perlu fokus sepenuhnya kepada pelajaran," katanya.

Mengakui terkesan dengan apa yang berlaku, Muhib tidak dapat menahan kesedihan sehingga mengalirkan air mata apabila ibu dan bapanya setiap masa memberi kata-kata semangat kepada dirinya.

"Sebak sangat sampai menitis air mata kerana sejujurnya ibu ayah risau keadaan saya. Saya pula jenis belajar last minute lagilah mereka banyak fikir," ujarnya.

Sebak sangat sampai menitis air mata kerana sejujurnya ibu ayah risau keadaan saya

MUHIBULLAH HASABDULLAH

Bercerita lanjut mengenai persiapan menjelang peperiksaan, Muhib mengakui situasi sedikit berbeza daripada sebelum ini apabila dia terpaksa menggosok pakaian sendiri selain tidak dapat mendekati ahli keluarganya sebelum keluar rumah menuju dewan peperiksaan.

Mengenai kedudukannya di dewan peperiksaan Muhib berkata segalanya telah dimaklumkan kepada gurunya sebaik sahaja ahli keluarganya dikuarantin.



Muhib dihujani dengan kata-kata semangat.

"Masa dapat tahu sahaja ahli keluarga saya jalani kuarantin saya terus maklumkan cikgu.

"Semestinya cikgu risau sangat. Tetapi selepas ibu jelaskan semuanya, cikgu faham dan beritahu saya mungkin akan ditempatkan di bilik berasingan ketika jawab peperiksaan SPM nanti.

"Bagaimanapun, atas arahan pengawas peperiksaan saya bersama tujuh rakan lain dibenarkan menjawab peperiksaan bersama pelajar lain kerana kami tidak memakai gelang pink di pergelangan tangan," jelasnya.

Tambah anak ketiga daripada lima beradik itu, dia berharap tiada siapa pun dalam ahli keluarganya yang mendapat keputusan positif Covid-19 dan menegaskan mereka diarahkan untuk menjalani kuarantin sebagai langkah berjaga-jaga kerana rumahnya mempunyai warga emas.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!
Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain