suria

Fizz Fairuz buka resort glamping… Lokasi menarik ada kebun durian, kolam ikan

Fizz Fairuz mempunyai 3 ekar tanah di Pahang.

MAHU meneroka bidang baharu sebagai pelaburan masa depan, pelakon Datuk Fizz Fairuz memilih membangunkan kawasan pelancongan di atas tanah seluas tiga ekar miliknya.

Fizz atau Mohd Fairuz Zainal Abidin, 47, memberitahu dia bakal membina sebuah resort serta tapak perkhemahan mewah (glamping) terletak di Ulu Dong, Raub, Pahang.

"Saya ada tiga ekar tanah dan sekarang saya tengah siapkan sebuah resort glamping dekat situ. Sikit lagi nak siap.

Fizz buat demikian sebagai perancangan masa depannya. 

"Dan saya juga ada kebun durian… ada 32 pokok durian, kolam ikan, rumah," katanya kepada mStar.

Fizz berkongsi perkara itu ketika ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Perantau Anak Pahang yang berlangsung di WTC, Kuala Lumpur pada Sabtu lalu.

Dalam pada itu, Fizz berkata dia merancang untuk membuka pintu resort tersebut kepada orang ramai selepas sambutan Aidiladha tahun ini sekiranya semua berjalan dengan lancar. 

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Fizz Fairuz tinggalkan Suria FM, mahu fokus jaga anak-anak

ARTIKEL BERKAITAN: Fizz Fairuz mahu hantar anak masuk pusat tahfiz, persediaan ‘bekalan’ di kemudian hari

"Insya-Allah lepas Raya Haji ini akan dibuka resort itu. Lokasinya di tepi jalan sahaja. Tempatnya cantik, dekat dengan sungai," ujarnya. 

Sementara itu, Fizz turut mengakui dia meminati dunia pertanian sejak dahulu lagi.

Biarpun menetap di kawasan bandar, Fizz tetap mencari ruang untuk merealisasikan hobinya itu meskipun hanya bercucuk tanam di ruangan kecil balkoni rumah.

Fizz dan Almy Nadia mempunyai lima cahaya mata perempuan. 

"Saya sebenarnya daripada awal lagi memang minat untuk bercucuk tanam, walaupun saya duduk di kawasan perumahan sekarang ini, di balkoni pun saya suka bercucuk tanam ada tembikai, sawi la.

"Alhamdulillah, hujung tahun 2024 saya dapat beli tanah di Kampung Perwas, Ulu Dong untuk realisasikan impian saya itu," ujarnya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Artikel Lain