suria

2 tahun tak jumpa, kini anak dah depan mata, ibu pasrah gelang pink jadi penghalang pertemuan - “Kalau tak ada dua perkara ni, susahlah”

Seorang guru berkongsi pengalaman di mana anak lelakinya menjalani kuarantin 14 hari dengan begitu ketat selepas tiba dari Mesir, dua minggu lalu.

BARU-BARU ini satu Malaysia kecoh selepas tular beberapa keping foto memaparkan individu yang memakai tag berwarna merah jambu di pergelangan tangan, selamba keluar rumah mengunjungi restoran.

Ia bermula dengan foto seorang wanita warga emas sedang menikmati hidangan, sebelum tular pula sekeping gambar seorang lelaki sedang asyik meneliti telefon bimbit di sebuah kopitiam.

Insiden tersebut jelas mengundang kemarahan orang ramai lantaran sikap tidak bertanggungjawab kedua-dua individu berkenaan yang baru di Malaysia dari luar negara dan sepatutnya menjalani tempoh kuarantin 14 hari di rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Awas! Makcik pakai tudung, wristband pink... tunggu denda dan tindakan selanjutnya

ARTIKEL BERKAITAN: Amboi, selambanya! Selepas makcik, ‘bro’ berseluar pendek tak segan silu lepak kopitiam pakai tag pink - “Aku terus blah sebab...”

Kesal dengan insiden berkenaan, seorang wanita tampil berkongsi pengalaman kuarantin yang dilalui anak lelakinya sendiri menerusi satu posting di Facebook demi memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai betapa pentingnya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Ini tag tangan anak kami. Dipakai ketika tiba di KLIA. Negatif Covid-19 ketika ujian swab kali pertama. Kuarantin di rumah ikut SOP.

"Sehingga saat ini, kami sekeluarga belum bersalaman dan sebagainya walaupun itu yang kami inginkan selepas hampir dua tahun tidak berjumpa.

"Alhamdulillah. Hari ini (hari ke-13) ujian swab kali kedua di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar mengesahkan negatif Covid-19. Tunggu hari ke-15 untuk tanggalkan tag keramat ini," demikian tulisnya pada perkongsian di Facebook.



Noraini berkongsi pengalaman mereka sekeluarga sewaktu salah seorang anak lelakinya menjalani kuarantin 14 hari selepas tiba dari Mesir.

Ketika berkongsi cerita dengan mStar, wanita berkenaan, Noraini Mat berkata tujuannya menulis posting tersebut kerana berasa bertanggungjawab untuk memberi kesedaran menerusi perkongsian pengalaman yang dilalui keluarganya sendiri.

"Sejak kebelakangan ini kita dapat lihat kes positif Covid-19 makin meningkat... daripada satu angka jadi dua angka. Kebetulan pula ada anak yang juga melalui tempoh kuarantin di rumah, jadi saya rasa terpanggil untuk cerita pengalaman sendiri.



Tag merah jambu yang dipakai anak lelaki Noraini sewaktu tiba di KLIA pada 8 Julai lalu.

"Bukan apa, saya rasa masih ada yang tak berapa faham mengenai istilah kuarantin. Kuarantin ni sepatutnya perlu dilakukan betul-betul, maknanya kena isolasi. Tak boleh ke sana sini.

"Kena duduk berseorangan untuk tempoh 14 hari. Makan minum pun guna bekas pakai buang. Bilik air pun kena asing," ujar guru berusia 48 tahun ini.

Menurut Noraini, anak lelakinya Muhammad Muizzuddin Nizar yang menuntut di Universiti Al-Azhar tiba di tanah air pada 8 Julai lalu kerana menghabiskan cuti semester.



Antara komen netizen yang memuji tindakan keluarga Noraini.

Anak lelakinya yang berusia 23 tahun itu disahkan negatif Covid-19 ketika kali pertama ujian swab dilakukan dan dia dipakaikan tag berwarna merah jambu ketika tiba di Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA).

Meskipun terlalu rindu untuk mendakap anak lelakinya apatah lagi sudah hampir dua tahun tidak bertemu, namun ujar Noraini, perkara itu terpaksa diketepikan seketika demi kesihatan dan keselamatan bersama.

Jika tak patuh, bukan hanya risikokan keluarga tapi orang sekeliling. Lebih bimbang nanti viral pula andai kata kita ni menjadi penyebab.

NORAINI MAT

IBU

"Memanglah rindu tapi kami akan sama-sama ingatkan, 'anak sudah ada dalam rumah dan depan mata'. Hanya sabar sikit saja lagi. Walaupun ujian kali keduanya pada hari ke-13 (Selasa) negatif, tapi kami tetap sabar tunggu hari ke-15 (Khamis).

"Alang-alang dah menyeluk pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Lagi pula saya terkesan dengan pengorbanan frontliners kita yang dah bertungkus lumus banteras Covid-19 selama beberapa bulan. Kita ni pula hanya perlu duduk saja.

"Tak mahulah apa yang kita buat selama ni jadi sia-sia hanya dengan kesilapan yang sedikit. Jika tak patuh, bukan hanya risikokan keluarga tapi orang sekeliling. Lebih bimbang nanti viral pula andai kata kita ni menjadi penyebab," ujarnya.



Tular foto dua individu memakai tag merah jambu yang didakwa melanggar SOP kuarantin baru-baru ini mengundang kemarahan orang ramai.

Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Noraini dalam masa sama menekankan kepentingan sifat sabar dan disiplin terutama kepada mana-mana keluarga yang mempunyai ahli keluarga yang dikuarantin.

"Kalau tak ada dua perkara ni, susahlah. Masing-masing mesti tahu risiko Covid-19 ni sebab hari-hari kita didedahkan ketika Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) umum kes baharu. Kenalah amalkan kata-kata 'Kita Jaga Kita'," ujarnya.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!
tag, merah jambu, kuarantin, Mesir, rindu

Artikel Lain