Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim teruja menerima sampul duit raya daripada dua beradik, Uwais Al Qorni dan Aesha Khadeeja.
LAWATAN kerja Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Terengganu meninggalkan kenangan yang cukup manis bagi dua beradik apabila mereka sempat disantuni Perdana Menteri sebelum beliau berlepas pulang ke Kuala Lumpur.Menerusi video yang dikongsikan Anwar di Facebook, kelihatan dua beradik berkenaan, Uwais Al Qorni dan kakaknya Aesha Khadeeja mengucapkan selamat hari raya sambil menghulurkan sampul berisi duit raya dari luar pagar Lapangan Terbang Sultan Mahmud, Kuala Nerus, Terengganu. "Tersentuh hati melihat keikhlasan mereka menghulurkan duit raya, satu tanda kasih yang merendahkan jiwa."Saya anggap ia simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia, saling menguatkan tatkala mendepani krisis ketika ini," katanya.Dalam pada itu, beliau turut meluahkan rasa sayu melihat keikhlasan yang ditunjukkan oleh kanak-kanak tersebut."Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih, amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil."Semoga Uwais dan Aesha membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak dan membawa kebaikan kepada keluarga serta negara," ujarnya.Sementara itu, beliau kelihatan teruja membuka sampul kiriman dua beradik berkenaan di dalam pesawat. "Dah lama dah, berpuluh tahun tak dapat duit raya," ujar beliau sambil membuka sampul yang mengandungi wang kertas RM2 dan RM5.Terdahulu, Anwar menghadiri beberapa program utama termasuk majlis pecah tanah Kolej Matrikulasi Bukit Payong, sesi ramah mesra MADANI bersama pelajar tahfiz, mesyuarat pembangunan daerah Kuala Terengganu serta Mini Konvensyen PKR Terengganu.