RAMAI yang sanggup membeli pemacu storan seperti pendrive pada harga tinggi untuk menyimpan gambar perkahwinan dan kenangan lama, namun kemudiannya dibiarkan tanpa digunakan selama bertahun-tahun. Apabila cuba diakses semula, fail didapati rosak dan sistem memaparkan ralat seperti 'You need to format the disk'. Menurut seorang individu bernama Abe Had, keadaan ini berlaku disebabkan fenomena yang dikenali sebagai charge bleed atau electron detrapping.Teknologi storan seperti pendrive dan Solid State Drive (SSD) menggunakan cip NAND Flash yang menyimpan data melalui cas elektrik (elektron) dalam struktur yang dipanggil floating gate. Struktur ini dikelilingi bahan penebat atau dinding penebat bagi mengekalkan cas tersebut dalam tempoh tertentu.Namun begitu, apabila peranti disimpan terlalu lama tanpa bekalan kuasa, keupayaan penebat tersebut akan berkurangan. Elektron yang terperangkap akan perlahan-lahan meresap keluar, menyebabkan kehilangan cas secara beransur-ansur melalui proses dikenali sebagai electron detrapping.Apabila jumlah cas semakin berkurang, voltan dalam sel memori turut menurun mengakibatkan sistem gagal mentafsir data dengan tepat, apabila nilai binari asal berubah (0 terbalik jadi 1). Kesannya menyebabkan struktur data menjadi tidak konsisten, lalu mengakibatkan fail rosak (corrupt), tidak boleh dibuka atau hilang sepenuhnya.Sehubungan itu, peranti storan berasaskan NAND Flash tidak sesuai dijadikan medium penyimpanan jangka panjang tanpa penyelenggaraan. Bagi memastikan kestabilan data, disarankan agar pendrive atau SSD disambungkan kepada komputer sekurang-kurangnya dua hingga tiga kali setahun untuk mengekalkan cas elektrik dalam cip memori.