Kegagalan mengawal emosi boleh mengundang implikasi undang-undang terhadap seseorang. -Gambar hiasan AI
RAKAMAN video memaparkan seorang wanita hamil menyerang individu lain yang didakwa menjalinkan hubungan dengan suaminya mengundang perhatian ramai di media sosial.Dalam rakaman tersebut, pelaku dilihat bertindak agresif dengan menarik tudung individu terbabit yang sedang menikmati hidangan di sebuah kedai. Difahamkan pada masa berkenaan mangsa sedang makan bersama suami pelaku.Aksi itu mencetuskan perdebatan dalam kalangan netizen, termasuk mempersoalkan mengenai batas tindakan seseorang dalam situasi melibatkan konflik rumah tangga.Mengulas isu tersebut, seorang penasihat undang-undang, Hanz Hamza menjelaskan tindakan sedemikian berpotensi membawa implikasi perundangan walaupun pelaku bertindak bagi menzahirkan keadaan emosinya.Menurut Hanz, dalam konteks undang-undang, perbuatan mengugut tanpa sentuhan boleh dikategorikan sebagai serangan (assault) di bawah Seksyen 351 Kanun Keseksaan.Manakala sentuhan tanpa kerelaan pula boleh termasuk dalam kesalahan kekerasan jenayah (criminal force) di bawah Seksyen 350.ARTIKEL BERKAITAN: Jangan terus ‘serang’ penyondol, bersemuka dengan suami dulu... Ini nasihat untuk isteri disakiti suami curangTambahnya, tindakan menarik atau membuka tudung seseorang pula berpotensi diklasifikasikan sebagai kesalahan lebih serius di bawah Seksyen 354, iaitu melibatkan pelanggaran (mencabuli) kehormatan individu.Hanz menegaskan bahawa walaupun emosi seperti marah, kecewa atau dikhianati adalah lumrah sebagai manusia, ia tidak berfungsi sebagai pembelaan di sisi undang-undang.Situasi tersebut melangkaui pertikaian biasa dan memasuki ruang liabiliti jenayah sebaik sahaja berlaku sentuhan tanpa persetujuan walaupun pada asalnya hanya disebabkan pertikaian peribadi.Selain aspek jenayah, Hanz turut menjelaskan kemungkinan tindakan sivil yang boleh diambil oleh pihak terlibat walau tanpa sebarang kecederaan fizikal.Tambahnya, elemen seperti menarik, meragut atau menyentuh secara paksa sudah memadai untuk membina asas kepada kes, lebih-lebih lagi apabila kejadian tersebut dirakam dengan jelas, boleh diulang tayang dan dan dijadikan bukti.Penasihat undang-undang itu turut menegaskan, perdebatan dalam kalangan netizen mengenai siapa yang benar atau salah daripada sudut moral tidak mengubah kedudukan undang-undang.Sehubungan itu, orang ramai diingatkan agar tidak mengambil tindakan sendiri, sebaliknya menguruskan konflik melalui saluran yang betul bagi mengelakkan implikasi undang-undang.