PASTI ada yang lebih gemar menggunakan casing atau selongsong lutsinar berbanding corak kerana ia membolehkan reka bentuk asal telefon dipamerkan.Bagaimanapun casing lutsinar mempunyai satu kelemahan yang ketara iaitu ia mudah bertukar kekuningan walaupun baru digunakan. Situasi ini menyebabkan pengguna terpaksa menggantikan selongsong baharu dengan kerap kerana ia tidak lagi cantik dipandang.Ramai tertanya-tanya punca ia mudah bertukar warna sama ada kualitinya yang rendah atau ia kesan daripada haba dihasilkan telefon.Penyiasat forensik digital, Elorm Daniel menjelaskan casing telefon lutsinar diperbuat daripada bahan dikenali sebagai Thermoplastic Polyurethane (TPU).Ia bersifat fleksibel, mampu menyerap hentakan, berkesan melindungi telefon daripada kerosakan akibat jatuh selain kos pengeluaran jauh lebih rendah.Namun begitu, TPU mempunyai kelemahan apabila ia mudah mengalami proses pengoksidaan secara semula jadi.Jelasnya, apabila casing terdedah kepada cahaya UV, haba, oksigen dan minyak daripada tangan pengguna, tindak balas kimia akan berlaku secara perlahan-lahan dalam struktur polimer bahan tersebut.Keadaan itu menyebabkan perubahan pada cara bahan menyerap dan memantulkan cahaya, sekali gus menghasilkan warna kekuningan atau keperangan.Walaupun casing sentiasa dibersihkan, perubahan warna tetap akan berlaku kerana proses tersebut berlaku dari dalam bahan itu sendiri.Pengeluar sebenarnya sudah berusaha memperlahankan proses ini dengan menambah bahan penstabil UV dan agen anti-pengoksidaan, namun ia hanya mampu melambatkan, bukan menghentikan sepenuhnya.Sebagai alternatif, terdapat juga casing lutsinar daripada polycarbonate yang lebih tahan daripada segi perubahan warna.Bagaimanapun, bahan itu lebih keras, mudah retak apabila menerima hentakan kuat dan kurang menyerap impak berbanding TPU.Disebabkan itu, kebanyakan pengeluar menggabungkan kedua-dua bahan polycarbonate di bahagian belakang untuk kekal jernih dan TPU pada bahagian sisi bagi perlindungan tambahan.Ironinya, bahagian yang paling cepat bertukar kuning biasanya adalah bingkai TPU di sekeliling casing.Kesimpulannya, bukan teknologi tidak mampu menghasilkan casing lutsinar anti-kuning, sebaliknya pilihan tersebut melibatkan kompromi dari segi kos, ketahanan dan tahap perlindungan peranti.