suria

[V] Jangan ambil mudah... Lelaki ini kongsi cara ‘check’ kebocoran alat pemanas air, kena faham fungsi butang ‘Test’ dan ‘Reset’

Buat ujian kebocoran arus jika menggunakan pemanas air dalam bilik air.

INSIDEN renjatan elektrik bukan perkara baharu namun sering dipandang ringan khususnya melibatkan penggunaan peralatan elektrik di kawasan berisiko seperti bilik mandi.

Alat pemanas air yang digunakan tanpa pemeriksaan keselamatan berkala boleh menjadi punca kemalangan serius malah boleh meragut nyawa sekiranya berlaku kebocoran arus elektrik.

Terbaharu seorang jururawat dilaporkan maut selepas dipercayai terkena renjatan elektrik alat pemanas air di bilik mandi rumahnya di Tanah Merah, Kelantan pada Isnin lalu. 

Mangsa berusia 46 tahun itu disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.50 petang ketika menerima rawatan di Hospital Machang selepas dibawa oleh ahli keluarga.

Kejadian itu turut dikongsikan seorang individu di Threads memberi peringatan terbuka kepada orang ramai agar sentiasa membuat semakan dan memastikan peralatan tersebut berada dalam keadaan selamat.

Dalam pada itu, seorang pengguna di ruangan komen [Tonton Video] berkongsi tip ringkas bagi memeriksa kebocoran arus elektrik pada alat pemanas air.

Menurutnya, pengguna perlu memastikan peranti tersebut dilengkapi butang 'Off', 'Test' dan 'Reset'.

"Hidupkan suis water heater, kemudian tekan butang Test. Jika sistem trip (memutuskan bekalan elektrik secara automatik) atau lampu LED terpadam, itu menandakan tiada kebocoran arus.

"Selepas itu, tekan semula butang Reset. Jika lampu kembali menyala, peralatan tersebut selamat untuk digunakan," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK), Datuk Mohd Azman Yacob mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian berkenaan.

Katanya, JKNK masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar mangsa dipercayai terkena renjatan elektrik.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa memastikan peralatan elektrik di rumah berada dalam keadaan baik.

Selain itu, pemeriksaan oleh pihak bertauliah juga digalakkan bagi mengelakkan kejadian tidak diingini.

Artikel Lain