suria

Sakit perut bongkar ‘rahsia’ disimpan sejak usia 12 tahun, doktor keluarkan termometer dalam usus pesakit

Termometer yang berjaya dikeluarkan daripada duodenum lelaki berkenaan. -Foto Weibo/SCMP

SEORANG lelaki berusia 32 tahun terkejut apabila objek yang ditelannya sejak dua dekad lalu masih berada dalam tubuhnya.

Lelaki dikenali sebagai Wang, dari Wenzhou,  China itu mendapatkan rawatan di hospital selepas mengalami sakit perut.

Hasil pemeriksaan imbasan mendapati terdapat objek asing di bahagian duodenum (bahagian pertama usus kecil) lelaki berkenaan.

Lebih mengejutkan, doktor mengesyaki objek tersebut ialah termometer merkuri.

Menurut doktor, keadaan itu berisiko tinggi kerana hujung termometer berkenaan menekan terus ke dinding usus, sekali gus boleh menyebabkan kebocoran dan pendarahan dalaman yang serius.

Wang kemudian mendedahkan bahawa dia sebenarnya telah menelan termometer itu secara tidak sengaja ketika berusia 12 tahun.

Namun, kerana terlalu takut, dia tidak pernah memberitahu ibu bapanya mengenai kejadian tersebut.

Pasukan pakar bedah berjaya mengeluarkan objek berkenaan dalam tempoh kira-kira 20 minit menerusi prosedur khas.

Bagaimanapun, pembedahan itu dianggap rumit dan berisiko tinggi memandangkan termometer tersebut telah berada lama dalam tubuh serta terletak berhampiran saluran hempedu, yang boleh menyebabkan kerosakan pada dinding usus.

Selepas dikeluarkan, termometer itu didapati masih dalam keadaan utuh, namun tanda ukurannya sudah pudar.

Dalam pada itu, pakar dari pusat endoskopi hospital berkenaan menasihatkan orang ramai agar segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya tertelan objek asing. -Agensi

Artikel Lain