suria

Peniaga merayu 'influencer' jangan promosi restoran miliknya, rimas pelanggan makin ramai

Pemilik restoran merayu agar orang ramai tak datang ke premisnya.

SEORANG pemilik restoran menjadi tular selepas secara terbuka meminta orang ramai tidak mengunjungi premisnya kerana tidak tahan dengan peningkatan pelanggan yang terlalu ramai.

Restoran yang terkenal dengan hidangan sup ayam herba tradisional itu dilaporkan menerima kunjungan luar biasa sehingga pelanggan terpaksa beratur panjang hingga berjam-jam.

Restoran itu terletak di Foshan, Guangdong, China.

Pemiliknya, dikenali sebagai Mo, bagaimanapun mengejutkan ramai apabila enggan menerima populariti tersebut dan beberapa kali meminta pengunjung serta pempengaruh media sosial berhenti mempromosikan kedainya.

Dalam beberapa video yang tular, dia dilihat meluahkan rasa penat dan mendakwa kehidupannya menjadi lebih sukar apabila restorannya menjadi tumpuan ramai.

“Jangan promosikan kedai saya lagi, hidup saya jadi makin susah,” katanya.

Restoran itu turut meletakkan notis amaran kepada pelanggan mengenai kesan sup herba yang disediakan, termasuk kemungkinan gangguan pencernaan, serta menasihatkan wanita hamil agar tidak mengambilnya.

Walaupun cuba mengelak daripada populariti, tindakan jujur pemilik restoran itu menjadikan premis berkenaan semakin tular dalam kalangan pengguna media sosial, sehingga digelar sebagai “restoran paling tidak mahu terkenal”.

Ada juga yang menyamakan sikapnya dengan trend “tang ping” di China yang merujuk kepada gaya hidup tidak mengejar tekanan kerja dan populariti. -Agensi

 

Artikel Lain