suria

Isteri dituduh tembak guru, rupanya suami dalang sebenar! Dipaksa mengaku selepas kantoi ada hubungan sulit

Wanita mengaku bersalah atas jenayah bunuh yang dilakukan suaminya.

KES pembunuhan seorang guru yang pada awalnya disangka dilakukan oleh seorang wanita akhirnya terbongkar apabila siasatan mendapati pelaku sebenar adalah suaminya sendiri.

Kejadian yang berlaku pada 2024 itu pada mulanya mengaitkan guru wanita sebagai suspek utama.

Ia berikutan insiden berlaku selepas dia didakwa menjemput mangsa ke rumah sebelum insiden pembunuhan berlaku.

Namun, siasatan lanjut mendapati wanita itu gagal menjelaskan penggunaan senjata, sekali gus membawa kepada penemuan bahawa tembakan dilepaskan oleh suaminya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Diyarbakır, Turki.

Menurut tertuduh, kejadian berlaku apabila mangsa, seorang guru yang mempunyai hubungan dengan isterinya, datang ke rumah mereka sebelum tercetus pertengkaran sehingga dia bertindak melepaskan tembakan.

Mangsa kemudiannya disahkan maut dalam kejadian tersebut.

Siasatan turut mendedahkan selepas kejadian, tertuduh meminta isterinya mengambil alih kesalahan kerana bimbang nasib anak-anak mereka sekiranya dia dipenjarakan.

Mahkamah kemudian mensabitkan tertuduh atas kesalahan membunuh dengan sengaja, namun hukuman diringankan atas faktor provokasi melampau.

Dia kemudian dijatuhi penjara 10 tahun lima bulan.

Sementara itu, wanita terbabit pula dijatuhi hukuman penjara lapan bulan 10 hari kerana kesalahan mengaku bersalah bagi pihak orang lain. -Agensi

Artikel Lain