suria

[V] Suhu badan tiba-tiba menurun, bayi diserang hipotermia selepas ‘tawan’ puncak Gunung Ungaran bersama ibu bapa

Mangsa dibaluti selimut kecemasan bagi menstabilkan suhu badannya.

SEPASANG suami isteri panik apabila bayi perempuan mereka yang baru berusia setahun lima bulan mengalami hipotermia ketika dibawa mendaki Gunung Ungaran, Indonesia.

Mangsa dilaporkan mengalami hipotermia ketika berada di Puncak Bondolan sekitar pukul 2 petang, Sabtu lalu sebelum pasukan mencari dan menyelamat (SAR) digerakkan ke lokasi.

Kanak-kanak itu dipercayai mengalami serangan itu berikutan cuaca sejuk berikutan puncak gunung dilanda hujan lebat. 

Menerusi rakaman video tular [Tonton Video], mangsa kelihatan pucat dan dibaluti selimut kecemasan bagi menstabilkan suhu badannya ketika dibawa turun ke kem penyelamat.

Ketua Badan Pengurusan Bencana Daerah (BPBD) Jawa Tengah, Bergas Caturisasi berkata, bayi itu kini berada dalam keadaan selamat dan sudah pulang ke rumah bersama keluarganya.

"Kanak-kanak itu selamat dan telah dibawa pulang oleh ibu bapanya selepas turun dari Kem Pangkalan Perantunan," katanya pada Isnin.

Gunung Ungaran yang berketinggian kira-kira 2,050 meter dari paras laut itu sememangnya popular dalam kalangan pendaki, khususnya golongan remaja dan pemula kerana lokasinya yang berhampiran bandar.

Malah, terdapat juga pendaki yang membawa anak kecil bagi menikmati keindahan alam semula jadi, meskipun berdepan risiko cuaca sejuk di kawasan puncak. -Agensi

Artikel Lain