suria

Termakan pujuk bekas kekasih... Gadis 19 tahun dicekik guna kabel pengecas telefon, ditikam bertubi-tubi

Mangsa mempunyai 10 kesan tikaman di bahagian tubuh.

SEORANG remaja wanita berusia 19 tahun nyaris maut selepas ditikam bertubi-tubi oleh bekas teman lelakinya.

Mangsa juga didakwa dicekik menggunakan kabel pengecas telefon sebelum tragedi ngeri itu berlaku di Tarsus, Turki.

Berdasarkan laporan, kejadian berlaku pada 4 Mac lalu selepas mangsa, Nurşen Ü., bertemu bekas teman lelakinya dengan alasan untuk berbaik semula.

Suspek didakwa membawa mangsa ke kawasan sunyi dengan alasan mencari rumah sebelum menyerangnya dari belakang menggunakan kabel pengecas telefon.

Ketika berada dalam keadaan panik dan bergelut untuk menyelamatkan diri, mangsa kemudian ditikam bertubi-tubi di beberapa bahagian badan.

Suspek juga didakwa cuba merampas telefon bimbit mangsa, namun melarikan diri apabila gagal berbuat demikian.

Kecederaan dialami membuatkan mangsa pengsan sebelum dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian.

Mangsa kemudian mendapatkan rawatan di Hospital Negeri Tarsus selama lima hari.

Hasil pemeriksaan perubatan, mangsa mengalami 10 kesan tikaman termasuk di bahagian perut, pusat, pergelangan tangan kiri, pangkal paha kanan dan belakang badan.

Disebabkan risiko jangkitan, mangsa dipindahkan ke Hospital Fakulti Perubatan Universiti Mersin dan menerima rawatan intensif hampir seminggu.

Selepas keadaan stabil, mangsa tampil membuat laporan polis dan menyatakan hasrat menuntut keadilan terhadap suspek.

Pihak berkuasa kini giat memburu suspek dan siasatan lanjut sedang dijalankan. -Agensi

Artikel Lain