suria

Bertahun simpan dendam, pelajar tikam guru di bilik pengetua… Sorok pisau dalam baju sekolah

Cubaan membunuh adalah satu kesalahan jenayah. -Gambar hiasan AI

 

SEORANG pelajar sekolah menengah ditahan polis selepas bertindak menikam gurunya menggunakan pisau.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 8.44 pagi di pejabat pengetua sebuah sekolah di Gyeryong, wilayah Chungcheong Selatan, Korea Selatan, pada pagi Isnin lalu.

Berdasarkan laporan, pelajar tahun akhir itu menyerang guru lelaki berusia lingkungan 30-an dan menikamnya beberapa kali di bahagian belakang badan sebelum melarikan diri.

Difahamkan, dia membawa pisau tersebut dari rumah dan menyembunyikannya di dalam pakaian seragam sekolah.

Mangsa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. 

Menurut polis, suspek kemudiannya tampil menyerahkan diri dan ditahan di bawah tangkapan kecemasan.

Siasatan awal mendapati suspek sebelum itu meminta untuk berjumpa dengan guru berkenaan melalui pengetua pada hari kejadian.

Dia kemudiannya dipercayai bertindak menyerang mangsa ketika pengetua keluar seketika dari bilik tersebut.

Pihak berkuasa mendedahkan kedua-dua individu itu mempunyai sejarah konflik sejak zaman sekolah menengah rendah, ketika guru berkenaan bertanggungjawab dalam hal ehwal pelajar dan pernah membimbing suspek.

Guru itu bagaimanapun baru dipindahkan ke sekolah berkenaan awal tahun ini dan bukan guru kelas kepada pelajar terbabit.

Dalam pada itu, pihak berkuasa memaklumkan kecederaan dialami mangsa tidak mengancam nyawa. -Agensi

Artikel Lain