Orang ramai dinasihati agar melakukan senaman selepas pengambilan daging berlebihan ketika musim perayaan. -Gambar hiasan AI
SAMBUTAN Hari Raya Aidiladha sememangnya meriah dengan pelbagai hidangan berasaskan daging lembu dan kambing.Di sebalik kemeriahan itu, ramai yang terlupa tentang risiko pengambilan makanan tinggi lemak dan kalori secara berlebihan. Pakar Perubatan Sukan, Dr Antonius Andi Kurniawan, mengingatkan kepentingan untuk terus melakukan aktiviti fizikal selepas Aidiladha bagi membantu mengekalkan kesihatan tubuh.Menurutnya, corak pemakanan yang tidak terkawal ketika musim perayaan boleh meningkatkan risiko beberapa penyakit seperti kolesterol tinggi, tekanan darah tinggi dan diabetes. "Apabila seseorang itu bergerak, ia boleh mencegah pelbagai jenis penyakit termasuk kolesterol, diabetes dan sebagainya. "Biasanya selepas musim perayaan, banyak masalah kesihatan timbul akibat corak pemakanan yang salah,” katanya.Hidangan khas Aidiladha lazimnya mengandungi kalori dan lemak yang tinggi.Malah, ia juga berisiko jika diambil dalam jumlah berlebihan atau dimasak menggunakan santan dan minyak yang banyak. Banyak menu berasaskan daging yang dihasilkan sewaktu sambutan Aidiladha. -Gambar hiasan AILangkah pencegahanDr Andi menyarankan orang ramai melakukan aktiviti fizikal bagi membantu tubuh membakar kalori yang diambil sewaktu musim perayaan. "Dengan melakukan pergerakan, sudah tentu berlaku pembakaran kalori, seterusnya mencegah atau membantu memulihkan fungsi penyakit tersebut," ujarnya. Tambahnya, aktiviti fizikal tidak semestinya melibatkan senaman berat, sebaliknya cukup dengan berjalan kaki, berbasikal dan joging.Jenis senaman juga boleh disesuaikan mengikut keadaan tubuh masing masing, seperti latihan kardiovaskular termasuk berjalan laju dan larian ringan serta latihan kekuatan untuk mengekalkan jisim otot dan kecergasan.Selain bersenam, orang ramai juga digalakkan mengawal pemakanan dengan memperbanyakkan pengambilan sayur sayuran, buah-buahan serta menjaga saiz hidangan agar seimbang. Dengan gabungan pemakanan sihat dan aktiviti fizikal yang konsisten, risiko masalah kesihatan selepas Aidiladha dapat dikurangkan.