suria

Tak jadi marah geng budak asrama makan mi segera lewat malam, pelajar hargai tindakan susulan guru ini - “Sama macam idola kami, Ebit Lew la cikgu”

Seorang guru, Muhammad Yusof mewujudkan 'foodbank' di asrama sekolahnya untuk membantu para pelajar yang memerlukan.

MI segera sememangnya sinonim dengan pelajar asrama.

Bagi yang pernah menjadi penghuni asrama sewaktu zaman persekolahan, pastinya sudah terbiasa dengan situasi berkongsi mi segera beramai-ramai.

Bukan sekadar 'tradisi' semata-mata, namun hakikatnya kebanyakan pelajar ini mahu berjimat cermat dalam berbelanja kerana tidak semuanya berasal daripada keluarga yang senang.

ARTIKEL BERKAITAN: “Asal Kelantan, patutlah pengotor” - Baru 8 hari masuk universiti, pelajar dah kena hentam... masak mi segera dalam baldi, 7 rakan sebilik join sekali

ARTIKEL BERKAITAN: Gara-gara mahu tinggalkan pelajar, guru akur makan mi segera dalam baldi... guna hanger patah pula - “Bila saya suap, tiba-tiba dia rindukan ayah”

Seorang guru, Muhammad Yusof turut berkongsi kisah yang mana dia sendiri pernah terserempak sekumpulan pelajar yang sedang berkongsi mi segera beramai-ramai.

"Masa saya naik round asrama, saya tengok ada empat, lima orang budak tengah berkumpul dalam gelap. Saya ingat diaorang tengah buat apa. Geram juga saya. Rupanya diaorang tengah berkongsi makan maggi.



Sebahagian perkongsian Muhammad Yusof di Facebook mengenai inisiatif 'foodbank' di asrama sekolahnya.

"Mula-mula saya nak marah juga sebab dah malam-malam tak tidur lagi tapi kesian pula saya tengok anak-anak murid saya ni. Kadang tak boleh nak salahkan diaorang juga. Yelah, budak nak membesar memang cepat lapar.

"Budak asrama saya ni bukan semua datang daripada keluarga kayangan. Ada budak yang ayahnya kerja bawa teksi, ada budak yang mak ayah bercerai, ada budak yang ayahnya kena buang kerja," tulisnya pada satu perkongsian di Facebook.

Menurut guru berkenaan, bermula dari situ dia terlintas untuk memulakan inisiatif dengan mewujudkan 'food bank' (tabung makanan) buat pelajar di asrama sekolahnya.



Inisiatif tersebut mendapat pujian pelajarnya yang menyamakan beliau seperti idola mereka, Ustaz Ebit Lew.

"Tujuan saya ialah anak orang kaya ke, anak orang miskin ke, semua boleh makan makanan bersama-sama. Pada saya, sekolah atau asrama bukanlah tempat untuk murid berlapar.

"Bila dah start projek ni, saya ada tanya respon anak murid saya. Diaorang kata, 'cikgu buat sama macam idola kami, Ebit Lew la cikgu'.

"Bahkan ada budak yang berminat nak bincang dengan keluarga nak buat food bank kat rumah diaorang. Terharu juga saya.

Saat ada orang kondem cikgu-cikgu makan gaji buta, sebenarnya saya nak bagitau ramai je cikgu-cikgu yang bantu bagi makan budak-budak susah...

MUHAMMAD YUSOF

GURU

"Saya doakan semoga bila diaorang dah besar nanti tak kisahlah kerja apa sekali pun, biar diaorang jadi manusia yang menyumbang sesuatu untuk masyarakat," tulisnya.

Tambahnya, ketika mana pelbagai tohmahan dilontarkan kepada sosok bernama guru sejak kebelakangan ini, namun sebenarnya golongan inilah yang ramai tampil ke hadapan khususnya dalam membantu murid yang kurang berkemampuan.

"Saat ada orang kondem cikgu-cikgu makan gaji buta, sebenarnya saya nak bagitau ramai je cikgu-cikgu yang bantu bagi makan budak-budak susah yang takde duit nak makan kat kantin, bayarkan yuran asrama budak-budak susah.



Rata-rata netizen turut memuji pendekatan Muhammad Yusof yang begitu prihatin dengan keadaan pelajar.

"Belikan peralatan menulis percuma untuk budak SPM, bahkan ramai juga yang aktif bagi bantuan buat keluarga yang terkesan masa PKP ni. Contoh terbaik ialah Cikgu Mohd Fadli Salleh.

"Hanya yang kenal siapa 'cikgu' sahaja tahu macam mana baiknya 'cikgu-cikgu' dekat Malaysia ni. Kalau betul diaorang kenal cikgu, takkan ada yang sampai hati nak ketawakan cikgu dia," katanya lagi.

Sehingga kini posting tersebut meraih hampir 1,000 shares selain dibanjiri dengan ratusan komen netizen yang memuji pendekatan guru berkenaan.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!

Ada cerita menarik mahu dikongsi? E-mel kepada kami di mstar@thestar.com.my

Artikel Lain