suria

Gara-gara mahu tinggalkan pelajar, guru akur makan mi segera dalam baldi... guna hanger patah pula - “Bila saya suap, tiba-tiba dia rindukan ayah”

Mohd Shahid menerima kejutan 'mi segera dalam baldi' sempena majlis perpisahan yang dibuat oleh para pelajarnya. Foto ihsan Mohd Shahid Ahmad

AMALAN makan mi segera bersama rakan-rakan mungkin kedengaran biasa bagi mereka yang menjalani kehidupan di asrama.

Tetapi luar biasa jadinya apabila seorang guru menikmatinya dari sebuah baldi yang tidak pernah atau jarang-jarang berlaku.

Begitulah yang dialami oleh seorang guru sambil dikelilingi oleh sekumpulan pelajarnya di asrama, dan video tersebut dimuatnaik oleh guru tersebut di laman sosialnya.

ARTIKEL BERKAITAN: "Saya mahu hidupkan suasana menyeronokkan" - Pulas minyak motor terhad di tingkat bawah saja, terbaharu cikgu usung speaker sampai tingkat 3 kejut pelajar

ARTIKEL BERKAITAN: Guna teknik 'pulas' kejut pelajar liat bangun pagi, cikgu penyayang dedah hari 'malang'... koridor asrama tiba-tiba sunyi

Bercakap kepada mStar, guru berkenaan, Mohd Shahid Ahmad memberitahu, ia berlaku sempena majlis perpisahan untuknya yang dibuat oleh sekumpulan pelajarnya di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) di Arau, Perlis pada 17 September lalu.



Mohd Shahid (kanan) turut menyuapkan mi segera kepada setiap pelajarnya.

Guru berusia 42 tahun itu berkata, dia bagaimanapun baru berkongsi video tersebut di laman sosial selepas seminggu berkhidmat ke sekolah baharu di MRSM di Taiping, Perak.

"Beberapa hari sebelum hari terakhir saya di MRSM Arau, ada sekumpulan pelajar Tingkatan 3 mengingatkan saya yang mereka mahu meraikan saya pada majlis perpisahan.

"Pada malam terakhir tu kebetulan saya ada program di sekolah, mereka datang untuk menjemput saya. Mereka kata ada kejutan di asrama," katanya kepada mStar.



Selain kejutan majlis perpisahan, Mohd Shahid juga menerima banyak hadiah daripada pelajarnya.

Mohd Shahid yang berkhidmat di MRSM Arau selama tiga tahun berkata, setibanya di asrama, dia ditarik masuk ke sebuah dorm yang turut dihadiri kira-kira 30 pelajarnya.

"Masa tu dah pukul 11 malam, mereka sebenarnya tertunggu-tunggu nak buat farewell untuk saya. Mereka kata ada kejutan dan saya nampak ada baldi besar berisi mi segera.

"Sempena malam terakhir tu, mereka kata cikgu cubalah makan ni. Mereka bagi saya penyangkut baju (hanger) yang dah patah untuk kaut mi segera tu dari dalam baldi.

"Selama ini saya hanya dengar pasal budak-budak asrama makan mi segera, tapi tak dapat menggambarkannya. Tiba-tiba kali ini saya tengok depan mata," ujarnya.



Mohd Shahid (tengah, baju kuning) merupakan guru disenangi ramai pelajar.

Bergelar pendidik sejak 12 tahun lalu, Mohd Shahid mengakui terkejut dan pada masa sama menyifatkannya sebagai pengalaman baharu yang melucukan.

"Kelakar tahap maksimum! Paling kelakar hanger patah tu untuk kaut mi segera yang separuh penuh dalam baldi.

Bila cikgu rapat dengan pelajar, InsyaAllah pelajar akan rasa seronok dan mesra dengan kita. Semua isu tentang disiplin dan akademik boleh kita kawal dengan cara yang lebih baik.

MOHD SHAHID AHMAD

"Ya Allah, saya tak dapat nak bayangkan apa yang mereka buat dengan baldi tu sebelum masak mi segera. Selalunya guna baldi untuk rendam bajulah, seluar dalamlah dan stoking.

"Bila teringat rendam stoking kotor tu, saya pejam mata masa makan. Dari guna hanger patah, lepas tu guna chopsticks (penyepit) hingga ke garfu," ujarnya secara berseloroh.



Mohd Shahid menganggap semua pelajarnya seperti anak sendiri.

Mahu berkongsi momen terindah itu sebagai kenangan, guru yang berasal dari Sik, Kedah itu turut menyuapkan mi segera menggunakan penyangkut baju yang patah kepada setiap pelajar.

"Saya suapkan seorang demi seorang, seperti seorang bapa suapkan anak makan. Seorang pelajar bila saya suapkan, tiba-tiba kata dia rindukan ayah dia sebab rapat dengan ayahnya.

"Walaupun mereka hidup berdikari di asrama tetapi antara mereka sebenarnya manja dan rindukan keluarga mereka apabila berjauhan. Sayalah guru, saya juga adalah bapa mereka.

"Bila cikgu rapat dengan pelajar, insyaAllah pelajar akan rasa seronok dan mesra dengan kita. Semua isu tentang disiplin dan akademik boleh kita kawal dengan cara yang lebih baik," katanya sambil menambah MRSM Taiping merupakan MRSM keempat dia berkhidmat selepas MRSM Merbok dan MRSM Langkawi di Kedah serta MRSM Arau.

Nak macam-macam info? Join grup Telegram mStar!



TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain