suria

Sedih tengok saf solat tarawih wanita lompong! Ramai degil enggan isi ruang kosong, fahamkan siapa patut ke depan dan hukumnya

Kelompongan saf sering dilihat semasa solat terawih.

 

KELOMPONGAN saf wanita semasa solat tarawih terus menjadi perbualan ramai apabila situasi sama turut berlaku pada tahun ini.

Lebih mengejutkan apabila ada yang menjadikan kesukaran untuk mengangkat beg tangan dan menghampar semula sejadah sebagai alasan untuk tidak memenuhi ruangan kosong.

Situasi yang berlaku itu membuatkan ramai mempersoalkan tentang hukum solat jemaah sekiranya saf tidak dipenuhi.

Tambahan pula, solat berjemaah mempunyai banyak kelebihan termasuk ganjaran pahala 27 kali ganda berbanding solat bersendirian.

 

Hukum solat jemaah tanpa rapatkan saf

Mengulas tentang solat jemaah tanpa merapatkan saf, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukumnya tetap sah.

"Kami berpendapat bahawa solat jemaah yang didirikan dalam keadaan saf tidak rapat adalah tetap sah tetapi makruh.

"Ini kerana meluruskan dan merapatkan saf adalah disunatkan dan bukannya wajib sebagaimana pendapat jumhur ulama.

"Ia juga bukanlah termasuk dalam syarat sah solat mahupun rukunnya," jelasnya menerusi menerusi laman sesawang kendaliannya.

Zulkifli turut berpandangan perbuatan tidak merapatkan dan meluruskan saf tanpa sebarang sebab yang diizinkan syarak adalah makruh kerana individu tersebut telah terlepas fadhilat berjemaah.

Makmum yang mengisi kekosongan saf akan menerima fadhilat. -Gambar hiasan

Makmum yang mengisi kekosongan saf akan menerima fadhilat. -Gambar hiasan

Tambahan pula, kesempurnaan saf termasuk dalam perkara yang dititikberatkan Rasulullah SAW kerana ia berhubung kait dengan rahmat di antara hamba dan Pencipta-Nya serta di situ juga lahirnya kesatuan hati antara kaum muslim.

Dari mana bermulanya saf

Kelompongan yang berlaku itu berkemungkinan disebabkan jemaah tidak mengetahui siapa yang sepatutnya memenuhi ruangan kosong berkenaan.

Malah ada yang masih keliru tentang dari arah mana bermulanya saf.

Menurut pendakwah bebas, Ustaz Azhar Idrus, saf bermula dari belakang imam apabila makmum itu lebih daripada seorang.

"Kemudian masuk sebelah kanan, kanan dan kanan.

"Menurut pandangan fuqaha, saf bahagian belakang dipenuhkan selepas di belakang imam betul-betul orang yang boleh menggantikannya," jelasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Mana telekung? Foto Siti Nurhaliza sembahyang berjubah curi perhatian... Ramai belum ‘khatam’ garis panduan aurat wanita dalam solat

Siapa yang sepatutnya mengisi kekosongan saf

Kekosongan saf semasa solat tarawih boleh berlaku disebabkan terdapat jemaahnya yang 'berpisah' (mufaraqah) sama ada disebabkan keuzuran atau sebagainya.

Persoalan timbul sama ada jemaah dari belakang yang perlu melangkah ke hadapan atau mereka yang berada dalam saf tersebut merapatkannya.

Berdasarkan keterangan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, makmum yang berada di belakang saf hendaklah segera mengisi kekosongan yang berlaku apabila melihat kelompongan berlaku.

Ia bagi membolehkan makmum mendapat fadhilat bersegera ke arah kebaikan serta fadhilat menyambungkan saf.

Pertikaian tentang siapa yang perlu mengisi kekosongan menyebabkan saf menjadi lompong.

Pertikaian tentang siapa yang perlu mengisi kekosongan menyebabkan saf menjadi lompong.

Walau bagaimanapun, sekiranya di bahagian belakang sudah tidak mempunyai makmum, maka jemaah yang berada di saf tersebut perlu bertindak merapatkannya sama ada dari kiri ke kanan atau sebaliknya.

Pandangan tersebut berdasarkan hadis Riwayat Abu Daud (681) yang menyatakan Rasulullah bersabda dan tutuplah ruang-ruang kosong.

Terdapat juga hadis yang diriwayatkan oleh Abdullah Ibn Umar R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda janganlah kamu biarkan kekosongan (saf) itu untuk syaitan. Sesiapa yang menyambungkan saf, Allah akan menyambungkannya. Sesiapa yang memutuskan saf, Allah akan memutuskan dirinya.

Kedua-dua petikan hadis berkenaan melarang saf dibiarkan dalam keadaan kosong tanpa diisi. 

Dalam pada itu terdapat juga hadis yang menegaskan tentang kewajipan meluruskan saf dalam solat.

Berdasarkan hadis diriwayatkan oleh Anas bin Malik R.A, Rasulullah bersabda luruskanlah saf-saf kamu, sesungguhnya lurusnya saf merupakan antara tanda kesempurnaan solat. Riwayat Al-Bukhari (723)

Artikel Lain