suria
mStar - Urban.Versatil

Selain haji dan umrah, wanita boleh ambil pil tahan haid sepanjang Ramadan... Untuk sambut suami PJJ pun diharuskan

Wanita yang didatangi haid tidak dibenarkan masuk ke dalam masjid. -Gambar hiasan AI

PERKONGSIAN seorang wanita mengenai penyesalannya kerana tidak mengambil pil tahan haid sebelum mengerjakan ibadah umrah mengundang perhatian netizen.

Menurutnya, disebabkan mendengar nasihat rakan, dia terlepas peluang melaksanakan ibadah berkenaan dan terpaksa duduk di luar masjid untuk melihat Kaabah.

"Aku menyesal dengar cakap kawan aku. Tapi Alhamdulillah juga sebab aku sempat buat umrah kedua dan ketiga, dan masuk Raudah. 

"Jangan ragu-ragu kalau korang nak ambil ubat stop period tu," luahnya berkongsi pengalaman tentang kepentingan ubat tahan haid di Thread.

Berdasarkan penjelasan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan mengenai pengambilan pil tahan haid untuk ibadah haji dan umrah adalah harus.

Pengambilan pil hormon diharuskan untuk ibadah puasa dan demi 'melayani' suami. -Gambar hiasan

Pengambilan pil hormon diharuskan untuk ibadah puasa dan demi 'melayani' suami. -Gambar hiasan

Ia berdasarkan pendapat beberapa fuqaha seperti al-Imam al-Bahuuti al-Hanbali Rahimahullah dalam Kasyyaf al-Qina’, al-Bahuti (1/2180), dibolehkan untuk meminum ubat-ubatan yang harus hukumnya untuk memotong haid selama mana ia selamat dari sebarang kemudaratan. 

Imam Malik pula memakruhkan perbuatan tersebut seperti dalam perkongsian Mawahib al-Jalil, al-Ru’aini al-Maliki (1/538).

Kata al-Imam Ibn Rushd al-Maliki Rahimahullah; Imam Malik ditanyakan berkenaan seorang perempuan yang takut haidnya berlaku lebih awal, lalu dia ingin meminum ubat yang dapat melambatkan kitaran haidnya. 

Maka kata Imam Malik yang demikian itu bukanlah suatu perkara yang tepat.

Mengulas kenyataan ini, Imam Ibn Rushd berkata, sesungguhnya Imam Malik memakruhkan hal tersebut hanyalah kerana takutkan wanita itu memasukkan sesuatu yang dapat memberikan mudarat ke dalam tubuh badannya sendiri. 

Dalam pada itu, penggunaan pil hormon tersebut juga diperluaskan dalam ibadah puasa di bulan Ramadan.

ARTIKEL BERKAITAN: Nak sambung puasa atau dikira tak sah kalau mandi wajib selepas azan Subuh? Umat Islam kena faham betul-betul

Menjelas mengenainya, Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan menerusi siri podcast al-Bayan di Facebook berkata, pengambilannya tiada masalah selagi mana ia tidak memudaratkan individu tersebut.

Malah ada fatwa di peringkat kebangsaan dan antarabangsa menyatakan, wanita boleh mengambil pil untuk menahan darah haid demi menyempurnakan ibadah puasanya. 

"Sekiranya tidak ada apa-apa mudarat dan dia selesa, boleh ambil. Namun sekiranya menahan darah haid itu menyebabkan dia sakit yang lebih mudarat, ia tidak dibenarkan oleh syarak.

"Sebahagian ulama kata, lebih afdal biarkan darah itu berjalan secara normal atau fitrahnya," jelas beliau.

Beliau juga menyatakan, pengambilan pil hormon tersebut turut dibenarkan untuk 'melayan' suami.

"Contohnya pasangan yang suaminya bekerja jarak jauh atau offshore, mereka boleh mengambil pil tersebut sekiranya waktu kepulangan suami adalah dalam tempoh kedatangan haid.

"Tujuannya adalah untuk meraikan suami yang baru pulang, diharuskan," tambahnya.

Artikel Lain